1 Julai 2024, Kuala Lumpur – Agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan pelaburan baru bernilai RM1.32 bilion untuk tahun 2024 yang bakal diumumkan di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024).
NBiOSHOWCASE 2024 akan berlangsung pada 17 dan 18 Julai 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. NBiOSHOWCASE 2024 merupakan persidangan dan pameran industri bioteknologi dan berasaskan bio anjuran bersama MOSTI dan Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama. Di samping itu, Bioeconomy Corporation menyasarkan jumlah sumbangan pendapatan kepada KDNK negara bernilai RM2 bilion yang bakal dicapai oleh industri bioteknologi dan berasaskan bio menjelang akhir tahun 2024.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang berkata sasaran pelaburan dan pendapatan itu bakal dicapai berdasarkan perkembangan dan kerjasama yang signifikan dalam sektor kesihatan, perindustrian, dan pertanian industri bioteknologi di Malaysia setakat ini.
Menurut beliau, dari Januari hingga Mei 2024, syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM838 juta pelaburan baru dan RM1.5 bilion pendapatan.
NBiOSHOWCASE 2024 merupakan platform yang tepat untuk mencapai objektif Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang bertujuan untuk memajukan sektor bioteknologi dan berasaskan bio sebagai pemacu utama ekonomi negara ke arah mewujudkan masyarakat bio-inovasi menjelang tahun 2030. Dengan tema “Bioekonomi untuk Semua”, acara ini terbuka kepada orang ramai untuk mendalami bagaimana bioteknologi dan industri berasaskan bio membentuk kehidupan masyarakat melalui penyelesaian inovatif.
NBiOSHOWCASE 2024 melibatkan hampir 140 reruai dengan lebih daripada 80 pempamer dan dijangka akan dihadiri 4,000 orang pelawat termasuklah di kalangan orang awam, usahawan, syarikat-syarikat swasta, awam, korporat, syarikat berkaitan kerajaan, tempatan, dan multinasional, institusi kewangan, pembiayaan, dan pelabur, penyedia teknologi, universiti dan institusi penyelidikan, pencari kerja dan syarikat perekrutan, pelajar sekolah dan universiti, siswazah, kementerian dan agensi kerajaan.
Antara program dan aktiviti di acara itu termasuklah forum khas dan sesi perkongsian oleh pakar-pakar industri, peluang dana dan pekerjaan, pelancaran produk, pertukaran MoU, pameran syarikat berstatus BioNexus dan BBA, penjualan produk, rangkaian perniagaan, demonstrasi makmal, aktiviti untuk pelajar sekolah, demonstrasi memasak, usaha kelestarian melalui Tanggungjawab Sosial Korporat, serta kuiz dan permainan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://linktr.ee/NBiOSHOWCASE2024 atau hubungi nbioshowcase2024@bioeconomycorporation.my.