25 Julai 2024, Kuala Lumpur – Malaysia komited untuk mencapai sasaran kelestarian melalui beberapa dasar dan pelan hala tuju negara yang mendorong langkah-langkah dan tindakan bagi mengurangkan pelepasan karbon, mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga boleh ubah, dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar.
Ekoran itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bersama Akademi Sains Malaysia (ASM), ketika ini sedang merangka Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) yang bertujuan untuk mengintegrasikan kesihatan planet ke dasar kebangsaan, memastikan pendekatan holistik terhadap kelestarian.
Dalam ucapan pembukaan pada National Dialogue on Planetary Health: Interconnectivity of Humans, Planet and Prosperity, YB Tuan Chang Lih Kang berkata, “Komitmen MOSTI merangkumi pelaksanaan Lima Pelan Hala Tuju Teknologi Negara yang memberi fokus kepada sektor-sektor kritikal kepada kesihatan planet, seperti Teknologi Hijau, Elektrik dan Elektronik, Teknologi Makanan, Teknologi Pengangkutan, dan Perkhidmatan Kesihatan. Melalui pembangunan dan penggunaan teknologi yang mengurangkan impak alam sekitar, kami secara proaktif menangani
isu perubahan iklim, mempromosikan amalan pertanian lestari, dan memajukan penyelesaian pengangkutan mesra alam.”
Majlis Sains Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah memandatkanMOSTI dan ASM untuk membentuk integerasi PTKPN pada tahun 2022. PTKPN ini berfokuskan kemanusiaan, didayakan oleh STI, berasaskan alam semula jadi dan dipacu nilai. Pembentukannya merupakan pelan berorientasikan misi yang menggunakan pendekatan menyeluruh Malaysia dalam memastikan kesihatan rakyat, biodiversiti (flora dan fauna) dan planet. Konsep kesihatan planet berasal daripada pemahaman bahawa kesihatan manusia dan tamadun bergantung kepada kesihatan sistem semula jadi.
Sesi Dialog Kesihatan Planet Negara merupakan sebuah platform bagi perbincangan yang bermakna serta penyelesaian masalah secara kolaboratif. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang PTKPN, mendapatkan sokongan di peringkat kebangsaan, mendapatkan pengesahan dan cadangan daripada pihak berkepentingan serta menyelaraskan usaha dengan dasar kebangsaan yang sedia ada. Program ini menekankan kepentingan kerjasama merentasi sektor, mengintegrasikan pengetahuan tradisional dan moden dan melibatkan komuniti tempatan, seterusnya meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam usaha global bagi kesihatan planet.