Skip to main content
News

National Space Camp 2024 (Kem Angkasa Kebangsaan 2024)

29 Julai 2024, Selangor – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan National Space Camp 2024 (Kem Angkasa Kebangsaan 2024) bertempat di MIGHT Partnership Hub, Cyberjaya.
Program pembudayaan sains yang bertemakan “Teknologi dan Pengembaraan Angkasa” ini merupakan kerjasama Apadilangit (Langit Kita Sdn Bhd) dan Starlight Education UK, dengan sokongan daripada agensi di bawah MOSTI iaitu Agensi Angkasa Malaysia dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology serta MASIC (Malaysian Space Industry Consortium).
“Matlamat utama program ini adalah untuk mendedahkan pelajar dan masyarakat tentang misi angkasa, Malaysia Space Exploration 2030 di samping menarik minat pelajar dan masyarakat terhadap sains dan teknologi angkasa. Ia juga bermatlamat untuk mengetengahkan potensi kerjaya dalam bidang angkasa serta membina kepakaran bagi industri angkasa tempatan selaras dengan Strategi 1, Teras Pembangunan Modal Insan dalam Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 yang telah dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), iaitu menggalakkan kesedaran dan minat dalam bidang berkaitan angkasa.” kata YB Tuan Chang Lih Kang.
Kem Angkasa Kebangsaan 2024 ini mensasarkan sehingga 1000 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, universiti termasuk orang awam bagi setiap siri yang akan diadakan di lima (5) negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak bermula Oktober sehingga awal Disember.
Penganjuran kem ini diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri, universiti awam tempatan dengan sokongan syarikat swasta. Selain kem angkasa, beberapa acara satelit juga akan dianjurkan seperti ucapan awam angkasawan NASA, pameran angkasa, cerapan langit, seminar pengembaraan angkasa, makan malam bersama angkasawan NASA & banyak lagi.
Majlis pelancaran ini turut menampilkan kemunculan istimewa angkasawan National
Aeronautics and Space Administration (NASA), Charles D. Gemar yang dibawakan
khas oleh Apadilangit bersama rakan kerjasama Starlight Education UK. Angkasawan
Charles D. Gemar telah ke angkasa dalam tiga (3) misi menggunakan kapal angkasa
ulang alik space shuttle dan telah berada di angkasa lepas selama 581 jam. Para peserta Kem Angkasa Kebangsaan 2024 juga akan turut berpeluang untuk berinteraksi dengan beliau semasa kem ini diadakan.
Pelajar dan syarikat swasta yang berminat untuk mendaftar dan berkolaborasi dalam
program ini, dipelawa untuk mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang www.nationalspacecamp.com and www.apadilangit.com serta di semua media sosial
Apadilangit. Anda boleh menghubungi Apadilangit di talian 0108987251 untuk bantuan teknikal mengenai Kem Angkasa Kebangsaan 2024.
Skip to content