Skip to main content
News

NIBM Lancar Bioteknologi Sandbox Bersama NTIS: Perkukuh Ekosistem Bioekonomi

25 September 2025, Selangor – Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) telah melancarkan Bioteknologi Sandbox, sebuah inisiatif strategik bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS). Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Boniface anak Edwin Manung, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D (MOSTI) yang mewakili YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersempena Hari Terbuka NIBM 2025 yang bertemakan “Meraikan Sains, Mengiktiraf Saintis”.

Bioteknologi Sandbox: Pacu Pengkomersialan & Inovasi Tempatan Bioteknologi Sandbox yang diterajui oleh NIBM ini merupakan Sandbox ke-16 di bawah NTIS, satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) sebagai sekretariat.
Dalam ucapannya, Encik Boniface menyatakan bahawa sehingga kini, NTIS telah menyokong lebih 220 projek, berjaya mengkomersialkan 80 teknologi dengan nilai RM158 juta, dan 9 teknologi dieksport bernilai RM245 juta.
Beliau turut menyatakan bahawa melalui Bioteknologi Sandbox ini, usahawan, penyelidik dan syarikat pemula (startup) bioteknologi dapat menguji, membangun serta menambah baik prototaip dalam persekitaran terkawal sebelum dibawa ke pasaran sebenar.
Bioteknologi Sandbox ini memberi tumpuan kepada bidang utama termasuk kultur tisu, akuakultur, rumah hijau herba serta rumpai laut yang menjadi keutamaan penyelidikan NIBM. Pelaksanaan ini dijangka menyumbang kepada jaminan makanan negara dengan potensi impak sehingga 50% pengurangan tenaga kerja, 30% peningkatan produktiviti dan 20% pengurangan kos.
MRANTI juga sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan rakan industri, akademia dan agensi lain bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara seterusnya memposisikan Malaysia sebagai peneraju bioinovasi di rantau ini.
Turut hadir bersama dalam majlis ini adalah Prof. Datuk Wira Dr. Raha Binti Abdul Rahim FASc, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Prof Dr Rofina Yasmin Othman, Pengerusi MRANTI, serta tetamu jemputan lain.
Sempena Hari Terbuka NIBM 2025 ini juga, pelbagai aktiviti termasuk pameran teknologi, pitching inovasi, lawatan makmal, aktiviti interaktif serta pertandingan inovasi pelajar sekolah telah dilaksanakan. Hari Terbuka NIBM ini adalah bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap bioteknologi, memperkukuh kolaborasi antara penyelidik, industri dan masyarakat, serta meningkatkan kesedaran tentang peranan saintis dalam pembangunan negara serta memahami peranan bioteknologi dalam kehidupan seharian.
Skip to content