Skip to main content
News

Pelajar Orang Asli Teruja Terokai Teknologi MRT Bersama Menteri MOSTI

KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk mengarusperdanakan STI dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam usaha tersebut, masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan apabila diberi peluang untuk bersama-sama dengan YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi melakukan lawatan kerja ke MRT Corporation. Lawatan ini dianjurkan khusus untuk meneroka dan mendapatkan informasi mengenai teknologi yang digunakan dalam pembinaan Sistem Transit Aliran Massa (MRT) yang juga merupakan salah satu daripada pembangunan berorientasikan transit (TOD).

 

Seramai lapan orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (A) Sepang telah dibawa bersama dalam lawatan ini yang turut disertai pengurusan tertinggi MOSTI dan disambut oleh CEO Rapid Rail, Dato’ Ir Zohari Solaman. Menurut YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, langkah membawa pelajar Orang Asli ini diambil bagi memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk meneroka teknologi terkini yang digunakan dalam sistem pengangkutan awam di Malaysia. “Saya mengharapkan dengan usaha kecil ini, ada dalam kalangan mereka yang satu hari nanti akan menceburi bidang STEM. Saya percaya dan penuh yakin bahawa pembangunan bakat adalah penting sebagai persediaan dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan dan bidang sains dan teknologi adalah bidang peneraju yang bakal memberi peluang yang lebih luas dan cerah kepada mereka”.

 

Menurutnya lagi, pelaksanaan projek MRT melambangkan permintaan tenaga kerja mahir pada masa hadapan. Satu perkara yang membanggakan ialah 10 kontraktor pakej utama yang terbabit dalam pembinaan projek MRT SBK terdiri daripada anak tempatan walaupun teknologi yang digunakan datang dari Jerman. Daripada projek berprofil tinggi ini, pemindahan teknologi memberi peluang kepada anak-anak tempatan menimba pengalaman berharga dalam menyepadukan kepakaran mereka dengan syarikat antarabangsa. Selain itu projek ini juga membuka peluang syarikat tempatan untuk mengeksport kemahiran dan keupayaan mereka ke luar negara pada masa akan datang.

 

Antara perkara yang menarik perhatian dalam teknologi pembinaan MRT ialah, kerja-kerja bawah tanah yang meliputi pembinaan terowong berkembar dan struktur yang berkaitan bagi jajaran bawah tanah sepanjang 13.5km serta 11 stesen bawah tanah. Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) merupakan stesen terdalam dan kedalamannya menyamai bangunan rumah pangsa 15 tingkat. Selain daripada itu, operasi MRT juga melibatkan sistem elektrikal dan mekanikal yang menuntut satu tahap piawaian yang tinggi untuk memastikan kelancaran perjalanan para penumpang mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Dalam usaha membudaya dan menyemarakkan STI juga, MOSTI telah mengambil inisiatif  menganjurkan Ekspo Inovasi dan Kreatif Ekonomi Nasional (NICE) pada 12-16 Oktober 2017 di Technology Park Malaysia dan tiga lagi lokasi satelit iaitu di Planetarium Negara, Pusat Sains Negara dan Petrosains. Pameran yang bakal dipaparkan merangkumi lima bidang utama iaitu teknologi, ICT, Wellness, Edutaiment dan Knowledge. Orang ramai dijemput hadir ke pameran terbuka ini untuk menyemarakkan lagi pembangunan STI negara.

 

 

Corporate Communication Unit

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia

Phone: 03-8885 8822, Fax: 03-8890 3092

Email: ukk.mosti@1govuc.gov.my