13 Oktober 2026, Putrajaya – Bersempena dengan sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2026, Unit Pengurusan Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia MOSTI turut mengambil peluang melaksanakan Program Game Based Learning sebagai pengisian Hari Psikologi MOSTI 2026.
Program ini dilaksanakan di Dewan Perhimpunan MOSTI dengan penyertaan seramai 40 orang pegawai dari MOSTI, Jabatan dan Agensi. Program ini menggunakan pendekatan aktiviti indoor berkaitan Game Based Learning yang dibimbing oleh Encik Effendy bin Norzaman, Pengasas FnD Mindspot.
Slot Game Based Learning merupakan aktiviti permainan papan dengan penyertaan sejumlah peserta secara kelompok – kelompok kecil untuk setiap jenis permainan papan yang disediakan seperti The Resistance, Treasures of Forbidden Island, Curious Case of Mr X Heroes, RISE, Melaka Game, Cytosis, Labyrinth, Orang Pulau dan Upin & Ipin Ke Sana Ke Sini.
Aktiviti permainan ini mampu merangsang minda di samping meredakan ketegangan emosi serta menyegarkan mental dan minda dengan cara menurunkan hormon stress seperti hormon kortisol sekaligus meningkatkan hormon kegembiraan seperti hormon endorfin.
Selain itu, aktiviti ini berupaya untuk mengurangkan tekanan kerja serta membantu menggalakkan interaksi positif antara rakan sekerja. merangsang pemikiran kreatif dan mengukuhkan semangat berpasukan sesuai dengan pendekatan berbentuk “santai sebentar di tempat kerja, segarkan mental dan eratkan hubungan sesama kita!”




