21 Julai 2025, Kuala Lumpur – Satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasa ekonomi digital negara telah dicapai hari ini apabila YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, melancarkan secara rasmi Malaysia Blockchain Infrastructure sempena pembukaan Minggu Blockchain Malaysia 2025.
Dibangunkan oleh MIMOS Berhad, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama rakan strategiknya, Malaysia Blockchain Infrastructure merupakan sebuah platform yang ditubuhkan untuk memperkasa perkhidmatan blockchain yang inovatif merentasi pelbagai sektor, seterusnya menyokong strategi aset digital Kerajaan selari dengan Pelan Hala Tuju Blockchain Kebangsaan 2021 – 2025.
“MOSTI komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Digital dalam memperluas penggunaan teknologi blockchain merentas sektor-sektor utama negara. Daripada meningkatkan ketelusan dan keselamatan data dalam sistem pentadbiran kerajaan, memperkukuh pensijilan halal, hinggalah mempertingkat kecekapan dalam perdagangan dan rantaian bekalan — matlamat kita adalah untuk memastikan teknologi blockchain dimanfaatkan secara praktikal dan berimpak dalam menyokong pembangunan negara serta memberi manfaat nyata kepada rakyat” kata YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Malaysia Blockchain Infrastructure diwujudkan untuk menyatukan ekosistem blockchain yang berasingan dengan membolehkan kesepaduan antara platform awam serta rantaian persendirian melalui satu sistem seragam. Platform ini mempermudah penggunaan teknologi blockchain oleh pengguna bukan teknikal dan memacu keterangkuman melalui kelayakan boleh disahkan (seperti MyDigital ID), token tidak boleh ditukar (non-fungible tokens, NFT), aplikasi decentralised finance (DeFi) dan banyak lagi. Peneraju awal akan mula melaksanakan penyelesaian berasaskan blockchain dalam identiti digital, pengewangan aset dan pengesahan rantaian bekalan.
Malaysia Blockchain Infrastructure juga menyokong transaksi rentas rantai yang selamat, telus dan cekap. Dengan capaian bersama dan sistem yang dipermudah, platform ini menggalakkan inovasi digital yang pantas dan kos efektif. Ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat teknologi dikongsi secara saksama, demi kemajuan digital yang lestari.