22 Jun 2024, Kedah – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Pusat Teknologi Inovasi Industri (ITIC), Semiconductor Research Consortium dan Akademi MIMOS di MIMOS Berhad, yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah.
Pelancaran ITIC menandakan satu pencapaian besar dalam kemajuan industri teknologi. ITIC terdiri daripada empat (4) pusat yang masing-masing dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu:
1. MIMOS: memberi tumpuan kepada sektor Elektrik dan Elektronik (E&E);
2. MRANTI: mengkhususkan sektor Teknologi Dron dan Robotik;
3. MIGHT: memfokuskan kepada Teknologi Bandar Pintar; dan
4. MYSA: yang menumpukan pada Teknologi Angkasa atau Aerospace.
YB Tuan Chang Lih Kang memberi keyakinan dengan inisiatif-inisiatif yang dimumumkan pada hari ini. Menurut beliau, penubuhan ITIC, Semiconductor Research Consortium dan Akademi MIMOS merupakan langkah strategik dan transformatif untuk jangka masa panjang bagi pembangunan industri dan bakat.
Pelancaran hari ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam mewujudkan sebuah ekosistem teknologi semikonduktor bagi memacu kedudukan Malaysia dalam sektor E&E di peringkat global.
Secara khususnya, ITIC MIMOS akan memberi penekanan kepada Peralatan Ujian Automatik (ATE). Inisiatif ini menyokong Pelan Hala Tuju E&E 2021-2030, dengan matlamat mensasarkan penghasilan komponen bernilai tinggi dalam negara dan meningkatkan sumbangan nilai tambah.
Di samping itu, pelancaran Semiconductor Research Consortium yang diketuai oleh MIMOS akan memanfaatkan kemudahan MIMOS dan kerjasama strategik untuk memajukan teknologi semikonduktor dan menangani cabaran industri, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)
semikonduktor.
Akademi MIMOS pula bakal memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan memupuk generasi perintis teknologi masa depan. Sejajar dengan National Semiconductor Strategies (NSS) Malaysia, Akademi MIMOS menyasarkan untuk menarik pelaburan dan membangunkan bakat mahir bagi memenuhi keperluan industri seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat R&D global.
Justeru, perasmian ITIC membuktikan komitmen MOSTI dalam menyokong pembangunan industri E&E melalui dasar, insentif dan pembangunan infrastruktur yang lengkap. Usaha ini akan mendorong Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi maju, seterusnya menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.