Skip to main content
News

Peluncuran Program Semarakkan Produk Inovasi Berimpak Tinggi Sektor Awam 2026

14 April 2026, Shah Alam – YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Semarakkan Produk Inovasi Berimpak Tinggi Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.
Menurut YBhg Tan Sri KSN, program ini merupakan platform penting dalam menyemarakkan semangat serta meningkatkan penglibatan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk terus meneroka dan memperkasa usaha inovasi. Beliau turut menegaskan bahawa inovasi menjadi asas kepada kekukuhan institusi dan tidak seharusnya organisasi kekal berada dalam zon selesa.
Tambahnya lagi, inovasi bukan sahaja merujuk kepada penciptaan teknologi baharu malah merangkumi pembaharuan sistem, penambahbaikan proses serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Sebanyak 25 kementerian dan agensi kerajaan telah menyertai program ini sebagai pempamer, dengan mempamerkan pelbagai produk inovasi masing-masing sepanjang program berlangsung.
MOSTI juga turut berpeluang dalam pameran yang diadakan ini dengan menampilkan tiga produk inovasi iaitu LembayUVng oleh Agensi Nuklear Malaysia, model 3D Makmal Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AIT) oleh MYSA, serta produk REVA oleh MIMOS.
Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat.
Skip to content