12 Ogos 2022, Kuala Kangsar – YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Penutupan Program Singgah Sains di SMK Sultan Tajul Ariffin, Manong, Kuala Kangsar Perak yang dibawakan oleh Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar.
Program Singgah Sains Perak 2022 merupakan salah satu inisiatif pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) oleh MOSTI melalui PSN yang telah dianjurkan sejak 2015. Ia juga bertujuan untuk memperkenalkan program pembudayaan STI yang ditawarkan oleh PSN dan Planetarium Negara.
Penganjuran Program Singgah Sains ini adalah sejajar dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN) dalam memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih berdaya saing melalui STI yang kukuh.
Seramai lebih daripada 2,000 pelajar dari 34 buah sekolah di Kuala Kangsar terlibat dalam program yang berlangsung selama dua (2) hari ini. Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif disediakan bagi memupuk minat generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), antaranya seperti Drone Challenge, DIY Science, STEM Challenge, STEM Corner, Pameran Interaktif, Science Show, Cerapan Matahari, VR Planet dan Planetkidz.
MOSTI sentiasa komited memperkasakan pembudayaan STI tanpa mengira latar belakang dan lapisan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan yang inovatif, berdaya saing, berkemahiran dan berpengetahuan.