Kuala Lumpur, 28 September 2020 – Dalam usaha untuk memacu pengkomersialan nanoteknologi Malaysia, Energy Transmission Technology, atau dikenali sebagai METT – pengecas telefon mudah alih tanpa wayar pertama di Malaysia di lancarkan hari ini oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Peranti ini membolehkan keupayaan mengecas bukan induktif tanpa sentuhan pada jarak sejauh beberapa meter untuk peranti mudah alih berasaskan 5V. METT boleh digunakan untuk semua jenis telefon mudah alih dan tablet. METT beroperasi pada julat gelombang frekuensi radio dan terdiri daripada dua komponen: penghantar dan penerima. Penghantar perlu disambungkan ke poin kuasa (palam) dan penerima yang mengandungi sistem pengecas perlu dipasang pada peranti mudah alih. Sistem pengecas kemudiannya akan mengesan isyarat RF dan mengubahnya menjadi tenaga elektrik untuk mengecas bateri. Secara prinsipnya, ini adalah sama seperti cara telefon kita menerima gelombang radio dari menara telekomunikasi dan mengubahnya menjadi bunyi pada pembesar suara. Apabila sistem ini digunakan, pengguna boleh memasuki mana-mana zon pengecas dan telefon mereka akan dicaskan secara automatik.
YB Khairy berkata: “Pelancaran METT pada hari ini bukan sahaja menjadi penanda aras dalam industri nanoteknologi, malah menjadi arah tuju yang tepat untuk negara selaras dengan visi Malaysia menjadi sebuah negara ke arah Industri 4.0. Untuk mencapai wawasan ini, National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) telah diperkenalkan oleh MOSTI baru-baru ini bertujuan menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi negara menerusi teknologi inovatif dan disruptif.”
Teknologi termaju METT telah dicipta dan dibangunkan bersama oleh Enhance Track dan NanoMalaysia Berhad melalui pembangunan produk dan dana pembesaran projek. Buat masa ini, sasaran awal pasaran ialah perniagaan dan juga individu. Kedua-duanya mempunyai kos pembangunan yang lebih rendah dan menyediakan jumlah penggunaan yang besar bagi memperoleh kejayaan komersial dan kadar penggunaan yang tinggi pada peringkat permulaan. Usaha untuk membangunkan sistem pengecas tanpa wayar bagi kenderaan elektrik juga terdapat dalam agenda tetapi usaha untuk aplikasi berteknologi tinggi ini hanya akan dimulakan mengikut fasa sebagai sahaja modal yang mencukupi diperoleh daripada pasaran sasaran awal.
METT dijangka akan memasuki pasaran menjelang pertengahan tahun 2021. Sebuah penghantar boleh digunakan untuk berbilang penerima. METT dijangka dapat menjana hasil jualan hampir RM1.9 bilion dan mewujudkan sehingga 2,800 peluang pekerjaan bagi para pekerja yang memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal STEM. Ini membuktikan bahawa nanoteknologi menjadi bidang penting dalam menggalakkan dan memacu kemajuan ekonomi, selari dengan visi dan keutamaan negara pada masa ini.