10 September 2026, Langkawi – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi melawat Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) di Langkawi bagi meninjau pelaksanaan operasi sistem amaran awal sinaran (radiation) di perairan negara.
Pemantauan secara berterusan 24 jam, 7 hari seminggu (24/7) amat penting bagi memastikan sebarang perubahan luar biasa pada tahap sinaran gama dapat dikesan dengan segera. Hal ini membolehkan tindakan dilaksanakan bagi melindungi nyawa rakyat serta kelestarian alam sekitar daripada sebarang potensi risiko ancaman sinaran rentas sempadan.
YB Menteri menegaskan bahawa aspek keselamatan sinaran serta keupayaan negara memperoleh data pemantauan sendiri secara berterusan adalah amat penting. Malaysia perlu mempunyai sistem pemantauan yang kukuh dan keupayaan untuk mengesan sebarang perubahan dengan pantas, khususnya melibatkan risiko sinaran.
Bagi memperkukuh rangkaian pemantauan perairan negara, sebanyak empat stesen baharu GSWMS telah dibangunkan dengan jumlah kos keseluruhan bernilai RM2,646,600.00. Selain stesen di Pulau Langkawi, tiga lagi lokasi strategik ialah di Taman Laut Pulau Tioman (Pahang), Taman Laut Pulau Perhentian (Terengganu), dan Jeti Pelabuhan Bintulu (Sarawak).
Kejayaan projek berteknologi tinggi ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu.
Turut hadir ialah YBhg. Datin Safida Zalma Mohd Piah; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI; YBrs. Puan Hajah Noraishah Pungut, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.




