Skip to main content
News

Perhimpunan Bulanan MOSTI (April)

21 April 2022, Putrajaya – Perhimpunan Bulanan MOSTI telah berlangsung di Auditorium JPA, Kompleks C, Putrajaya buat pertama kalinya pada tahun ini dan juga pada ketika negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Perhimpunan warga MOSTI, jabatan dan agensi bersama YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini turut dihadiri YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI, Timbalan Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan serta CEO agensi-agensi di bawah MOSTI.

YB Dato’ Sri Dr. Adham dalam ucapannya telah merakamkan tahniah di atas pencapaian dan kejayaan Keluarga MOSTI pada suku pertama tahun 2022. Antara lainnya melalui R&D dan penghasilan produk/teknologi berkaitan COVID-19, Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara, Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai dan sesi libat urus perkongsian maklumat, pengetahuan dan kepakaran dengan pelbagai pihak.

YB Menteri turut mengingatkan Keluarga MOSTI untuk memastikan segala program dan inisiatif yang dilaksanakan, manfaatnya harus sampai ke akar umbi. Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja berprestasi tinggi yang mana memerlukan kepantasan, kemahiran dan bakat (speed, skill and talent).

Warga MOSTI juga diseru untuk terus meningkatkan semangat, iltizam dan prestasi dalam usaha merakyatkan sains, menginsankan teknologi serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada Keluarga Malaysia.

Turut diadakan Tazkirah Ramadan berkisarkan tajuk ‘Sains dan Ramadan’ yang disampaikan oleh Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman.

 

Skip to content