10 Februari 2022, Putrajaya – Ms Elinor Buxton, Pengarah Serantau, Pejabat Komanwel & Pembangunan (FCDO) Sains dan Inovasi Asia Tenggara yang baharu telah mengadakan pertemuan secara maya dengan YBhg. Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha MOSTI. Semasa perbincangan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mempereratkan dan menjalin kerjasama dua hala yang lebih baik, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi. Beberapa bidang khusus yang akan diterokai ialah pembangunan vaksin, kenderaan elektrik, pembiayaan penyelidikan, latihan dan pemindahan teknologi.
Sesi secara maya ini turut melibatkan dua pembentangan dari Malaysia mengenai 10-10 Rangka Kerja Sains, Teknologi dan Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) oleh NanoMalaysia Berhad.
Ms. Elinor Buxton telah memaklumkan bahawa FCDO akan mengaktifkan semula agenda Majlis Sains dan Teknologi UK, yang dipengerusikan oleh perdana menteri United Kingdom serta akan berkongsi hasil dan perkembangan semasa dengan Malaysia sebaik sahaja ianya selesai. Ms. Elinor juga menyatakan bahawa UK akan meningkatkan lagi kerjasama dalam Program Dana Newton Ungku Omar (NUOF) dengan ASM.
MOSTI dan Kerajaan United Kingdom akan mengadakan perbincangan di peringkat kerja untuk meneroka lebih lanjut potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.