08 September 2025, Kuala Lumpur – YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI telah menyempurnakan Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh 2025 di Perkarangan Kaunter Tiket, Planetarium Negara, Kuala Lumpur.
Fenomena Gerhana Bulan Penuh ini bermula pada 7 September 2025 dengan Fasa Penumbra jam 11:28 malam, diikuti Fasa Separa dan Fasa Penuh (kemuncak gerhana) sebelum kembali ke Fasa Separa dan Penumbra sehingga selesai sepenuhnya pada jam 4:55 pagi, 8 September 2025.
Sebanyak 6 teleskop disediakan oleh Planetarium Negara untuk kegunaan orang awam dengan kerjasama Star-Finder Astronomical Society yang turut menyediakan peralatan tambahan. Program turut dimeriahkan dengan taklimat dan penerangan mengenai gerhana, Astro Kuiz, sesi solat sunat gerhana dan penstriman langsung melalui media sosial Planetarium Negara.
Program ini memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan keindahan fenomena astronomi yang jarang berlaku serta meningkatkan minat masyarakat terhadap sains dan astronomi. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membudayakan sains dan astronomi, memperkukuh kreativiti, penyelidikan dan penguasaan teknologi demi kemajuan negara.