13 Januari 2025, Putrajaya – Lebih 70 warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyertai program Santai Alam di Taman Warisan Pertanian Putrajaya. Aktiviti ini menerapkan ciri-ciri mesra alam dan menyuntik keakraban di kalangan warga kerja. Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya, yang sama-sama meluangkan masa bersama peserta.
Peserta memulakan aktiviti dengan langkah santai sejauh 3km yang menghubungkan kawasan indah taman ini. Perjalanan ini membawa mereka ke lokasi ikonik di sekitar taman dan Pelantar Peninjau yang menawarkan pemandangan Putrajaya dari puncaknya.
Setelah sampai di Pelantar Peninjau, para peserta menikmati sesi santai sambil menjamu selera dengan pelbagai buah-buahan tempatan segar, seperti rambutan dan manggis, yang menjadi simbol keunikan warisan pertanian kita.
Program ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memupuk keakraban antara warga MOSTI dan rakan strategik. Aktiviti seperti ini juga sejajar dengan aspirasi MOSTI dalam menyokong pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.
Hadir sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI, YBrs. Tuan Ooli Gunalan, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan serta Ketua-ketua Unit/Bahagian MOSTI.