26 Jun 2022, Terengganu – YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Program Singgah Sains Terengganu 2022 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT).
Program yang dianjurkan oleh Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama PSKT ini diperkenalkan dalam usaha untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan muda dan pelajar bagi memupuk minat dan meningkatkan populariti bidang sains, teknologi dan Inovasi (STI).
YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim berkata, “Program Singgah Sains Terengganu 2022 ini dapat memperkasakan pembudayaan STI tanpa mengira latar belakang dan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha melahirkan modal insan yang inovatif, berdaya saing, berkemahiran dan berpengetahuan.”
Program Singgah Sains Terengganu 2022 disertai oleh Keluarga Malaysia dalam kalangan murid pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah, pelajar institut pengajian tinggi, ibu bapa serta warga pendidik. Ia dilihat mampu menjadi salah satu pemacu ke arah membina bakat STI, selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang memfokuskan kepada kemajuan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Pada majlis perasmian tersebut, pameran Mobile Thematic Exhibition (MTE) bertemakan ‘Dunia Galaksi’ turut diperkenalkan. Sebanyak sembilan set bahan pameran modular berkonsepkan fizik astronomi ditempatkan di PSKT bagi tempoh dua tahun. Pameran Dunia Galaksi yang dibangunkan oleh PSN ini berkonsepkan fizik astronomi dengan keluasan 300 meter persegi.
Ia dilengkapi dengan persekitaran interaktif, bahan pameran hands-on, teks saintifik dan maklumat berbentuk grafik bagi menarik minat orang ramai mengenai STI. Melalui aplikasi ini, ilmu astronomi, fizik dan fenomena seperti Fasa Bulan, Peredaran Atmosfera, Hukum Newton, Kuiz Buruj dan banyak lagi dapat dipelajari dengan lebih menarik.
YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim menyeru rakyat negeri Terengganu untuk merebut peluang untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti sains yang diadakan sepanjang program tersebut berlangsung.
Hadir sama YB Haji Maliaman bin Kassim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi; YBrs. Dr. K. Nagulendran, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI; YBrs. Puan Mismah Jimbun Pengarah, Pusat Sains Negara (PSN) dan YBrs. En. Mohd Huzairil Nizam bin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, PSKT.