Skip to main content
News

Program STEM & LEAD 2025: “Meneroka Inovasi, Memacu Kepimpinan Sekolah” di Lahad Datu, Sabah

25 Oktober 2025, Sabah – YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyampaikan ucapan perasmian sempena Program STEM & LEAD: “Meneroka Inovasi, Memacu Kepimpinan Sekolah” 2025 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choi, Lahad Datu, Sabah.

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan lagi bersifat pilihan, tetapi keperluan asas dalam membentuk generasi masa depan yang mampu beradaptasi dan berinovasi seiring dengan Revolusi Industri 4.0.
Beliau menekankan bahawa kejayaan masa depan negara tidak hanya bergantung kepada teknologi, tetapi kepada manusia yang berani berfikir, mencuba dan berinovasi.
YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof turut menyeru agar kepimpinan sekolah memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan, bukan sekadar pentadbir, bagi melahirkan persekitaran pembelajaran yang proaktif dan berdaya inovasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu atas usaha menganjurkan program berimpak tinggi ini, yang membuktikan bahawa Lahad Datu bukan sahaja kaya dengan sumber alam, tetapi juga dengan modal insan yang kreatif, progresif dan inovatif.
MOSTI percaya, melalui budaya inovasi dan pemikiran saintifik yang berterusan, generasi muda Malaysia akan mampu menjadi peneraju kemajuan negara di pentas global.
MOSTI komited memperkukuh ekosistem pendidikan STEM melalui pelbagai inisiatif seperti Minggu Sains Negara (MSN), Malaysia Techlympic, Kembara Sains Borneo (KSB) dan Sekolah Angkat MADANI MOSTI, dengan kolaborasi antara sekolah, universiti, industri dan masyarakat.
Skip to content