Skip to main content
News

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi Sediakan Ruang Percuma Untuk Komuniti Setempat Garap Idea Berasaskan Sains, Teknologi Dan Inovasi

8 Ogos 2022, Langkawi – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Program Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi dalam usaha untuk memupuk nilai Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan komuniti luar bandar.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, “Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi adalah istimewa kerana MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah menyediakan sudut inovasi kepada perusahaan sosial seperti Persatuan Ibu Tunggal Rekreatif dan Inovasi (SURI) untuk melatih dan membangunkan golongan ibu tunggal di kawasan Langkawi melalui projek berasaskan jahitan”.

“Menariknya tentang projek ini, ibu-ibu tunggal di pulau Langkawi akan didedahkan dengan asas menjahit pelbagai produk seperti beg sekolah, beg tangan, beg duit dan banyak lagi menggunakan seluar dan pakaian jeans yang terpakai. Inovasi yang menggunakan barangan kitar semula ternyata menyumbang ke arah pengurangan bahan buangan dan secara langsung mengangkat hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara hijau yang mesra alam. SURI merupakan perusahaan sosial yang berjaya memasarkan produk inovasi sosialnya di Uniqlo”, ujar beliau lagi.

Selain itu, Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi turut memaparkan produk inovasi sosial Flexible Silkscreen Printing Table (Flexsilk). Flexsilk adalah meja cetakan baju yang telah ditambahbaik fungsinya berbanding yang ada di pasaran. Ia juga menyelesaikan masalah penggunaan ruang dan saiz yang besar dan menambah baik rekabentuk agar lebih mesra OKU terutama kepada golongan yang berkerusi roda dan mempunyai masalah ketinggian, termasuklah kanak-kanak.

Masyarakat setempat berpeluang untuk menjalankan aktiviti inovasi dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti pencetak 3D, robotik, dron dan lain-lain peralatan secara praktikal, sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan, produktiviti serta ekonomi komuniti setempat melalui olahan idea dan kreativiti yang dapat dipasarkan.

Setakat ini, MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah diberikan mandat untuk membangunkan 8 buah Ruang Reka antaranya di Selangor, Sabah, Sarawak, Melaka, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan termasuklah di Langkawi, Kedah.

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia Langkawi merupakan kerjasama di antara YIM, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Melalui hub ruang reka yang dibangunkan, MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi diterajui sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan. Selain itu, hub ini juga dapat mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat-bakat tempatan di dalam bidang sains dan inovasi.

Skip to content