Skip to main content
News

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Meriah, Semarak Semangat Malaysia MADANI

31 Ogos 2026, Putrajaya – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dalam suasana penuh semangat patriotik dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menghimpunkan 10,819 peserta menerusi 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, GLC, institusi pendidikan serta orang awam.
Turut mencuri perhatian ialah penyertaan sulung Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen Kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan persembahan “Gema Inovasi MADANI” yang mengetengahkan kreativiti, kepelbagaian seni dan warisan Malaysia menerusi penyertaan 150 peserta pergendangan serta 1,500 peserta grafik manusia.
Langit Putrajaya kemudiannya dihiasi aksi pesawat dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum sambutan diakhiri dengan persembahan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” melibatkan 2,350 peserta daripada pelbagai kumpulan kesenian, agensi kerajaan, NGO serta penggiat seni dan budaya.
Sambutan penuh warna-warni ini turut diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, serta kehadiran YAB Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet termasuk YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia.
Ayuh kita terus menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan dan bersama-sama mengangkat Malaysia sebagai negara yang maju, berdaya saing serta berpaksikan sains, teknologi dan inovasi.
Selamat Hari Kebangsaan 2026!
Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
Skip to content