Skip to main content
News

Sambutan Hari Malaysia 2025

16 September 2025, Pulau Pinang – Sambutan Hari Malaysia 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena malam ini yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib menyempurnakan simbolik perasmian sambutan diiringi oleh YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri; Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya.
Turut hadir, YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, yang menzahirkan komitmen kementerian untuk terus menyokong aspirasi perpaduan negara melalui pembudayaan sains, teknologi dan inovasi.
Majlis turut menyaksikan sesi menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 serta upacara memotong kek Hari Malaysia ke-62. YAB Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan hadiah utama “Gerakan Bersama Malaysiaku” berupa sebuah kereta Proton e.MAS, sebuah Proton X70 dan sebuah motosikal Modenas kepada tiga pemenang bertuah.
Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025; YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2025; menteri-menteri Kabinet; serta kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Sambutan tahun ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran “Menelusuri Zaman”, galeri foto, DJ Corner RTM dan Astro Audio KITA FM, Kempen Internet Selamat, demonstrasi makanan dan pakaian tradisional, pertandingan mewarna keluarga, kuiz Kahoot, serta trak makanan.
Kredit Foto/Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara
Skip to content