17 Oktober 2025, Perlis – Seminar Rangkaian Makmal Nanoteknologi Kebangsaan (RMNK) Siri 4 dengan kerjasama National Nanotechnology Centre (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Institute of Nano Electronic and Engineering (INEE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kecemerlangan, Kampus Pauh Putra UniMAP.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP. Turut hadir ialah YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Mukifza bin Harun, Pengarah NNC MOSTI.
Seramai lebih 600 peserta hadir terdiri daripada pelajar UniMAP, UiTM Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), MRSM Beseri dan sekolah-sekolah menengah sekitar Perlis. Seminar ini diadakan bersempena dengan Festival of Ideas (FOI) 2025 peringkat negeri Perlis.
Antara penceramah industri yang turut berkongsi kepakaran ialah wakil daripada Silterra (M) Sdn. Bhd. dan GlobalFoundries. Selain sesi perkongsian ilmu, turut diadakan aktiviti STEM dan pameran produk nanoteknologi oleh INEE UniMAP yang mempamerkan potensi teknologi nano dalam kehidupan seharian.
MOSTI komited memperkukuh pembangunan dan penyelidikan dalam bidang nanoteknologi selaras dengan prinsip Malaysia MADANI– Daya Cipta, yang menekankan inovasi, kreativiti dan penerapan sains serta teknologi demi kesejahteraan masyarakat.
 
				


