Skip to main content
News

Sesi KSU MOSTI Lawatan Ke PETRONAS Research Sdn Bhd

7 Ogos 2026, Bangi – MOSTI komited memperkukuh kerjasama strategik bersama PETRONAS bagi mempercepat pembangunan, pemindahan teknologi, serta pengkomersialan inovasi berimpak tinggi tempatan.

YBhg Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, memuji pencapaian PETRONAS Research Sdn. Bhd. (PRSB) yang berjaya mengkomersialkan teknologi grafin seperti bateri berprestasi tinggi, bahan salutan, dan aplikasi komposit. PETRONAS turut memanfaatkan teknologi penyahkarbonan LOOP untuk menukarkan metana kepada grafin berkualiti tinggi dan gas hidrogen bersih, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi hidrogen dan peralihan tenaga mampan.
Beliau menyatakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) dari MOSTI akan menyokong pembangunan berterusan program bahan termaju PETRONAS Technology Ventures dengan memperkukuh formulasi grafin, mengesahkan aplikasi teknologi, serta mempercepatkan pengkomersialan melalui demonstrasi perintis dan pelaksanaan di peringkat industri. Pelaksanaan projek Strategic Research Fund (SRF) oleh PETRONAS Technology Ventures Sdn. Bhd. ini adalah di bawah National Advanced Materials Programme (NAMPRO) dan tempoh pelaksanaan adalah dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2028, yang dipantau oleh MIGHT.
Inisiatif ini selaras dengan pelbagai dasar negara seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, National Energy Transition Roadmap (NETR), serta aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk memperkasakan ekonomi berasaskan nilai tinggi. Beliau berharap sinergi antara MOSTI dan PETRONAS terus diperkukuh bagi meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi dan teknologi termaju serantau.
Skip to content