5 Mac 2026, Kuala Lumpur – Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang diketuai oleh YBrs. PKPj Wong Chiew Hoong, Ketua Unit Integriti MOSTI telah mengadakan sesi libat urus dan lawatan kerja ke MIMOS Berhad bagi memperkukuh kerjasama strategik serta membincangkan aspek pemerkasaan tadbir urus dan integriti organisasi. Sesi ini turut disertai oleh Encik Abdul Rashdee bin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MIMOS Berhad bersama barisan pengurusan dan pegawai kanan MIMOS.
MIMOS Berhad merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi strategik negara di bawah seliaan MOSTI yang memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan teknologi tempatan. Melalui penyelidikan dalam bidang teknologi termaju seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), Internet of Things (IoT), keselamatan siber serta teknologi digital, MIMOS terus menyumbang kepada pengukuhan ekosistem inovasi negara dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi berasaskan teknologi.
Selain itu, MIMOS turut berperanan memperkasa pembangunan inovasi baharu serta memudah cara pemindahan teknologi kepada sektor industri bagi tujuan pengkomersialan. Kerjasama strategik yang dijalinkan bersama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri turut menyokong pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Dalam sesi libat urus ini, Unit Integriti MOSTI turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap prinsip tadbir urus baik, integriti organisasi serta akauntabiliti dalam pelaksanaan fungsi dan peranan agensi. Perbincangan turut menyentuh beberapa aspek penting termasuk pengurusan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengurusan dana dan geran, pelaksanaan serta pemantauan projek, pengurusan sumber manusia serta pengurusan komunikasi dan teknologi.
Platform libat urus ini menyediakan ruang yang kondusif kepada pegawai untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, cabaran serta amalan terbaik berkaitan integriti dan tadbir urus organisasi. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara organisasi, malah membantu meningkatkan keupayaan pegawai dalam melaksanakan tugas secara lebih telus, berkesan dan berintegriti.
MOSTI kekal komited untuk terus memperkasakan budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus baik di semua peringkat organisasi selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berintegriti.




