24 April 2025, Putrajaya – YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah mempengerusikan Sesi Perbincangan bersama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN ESCAP)) pada 24 April 2025 di MOSTI.
Sesi perbincangan ini turut disertai oleh wakil-wakil daripada Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D (PTK), Pejabat Projek Vaksin Malaysia (MVPO) MOSTI dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).
Perbincangan telah memberi tumpuan kepada pembangunan Kerangka Pelaburan dalam Pembangunan Teknologi Negara (National Technology Investment Framework, NTIF) yang bertujuan memperkukuh kedaulatan teknologi negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import dan mempercepatkan pembangunan teknologi strategik tempatan.
Turut hadir, Dr. Heather Taylor-Strauss, Ketua Program Pelaburan Langsung Asing (FDI), UN ESCAP, telah berkongsi pengalaman dan amalan terbaik global dalam merangka strategi pelaburan teknologi bagi pembangunan mampan. Kerangka NTIF ini berhasrat untuk memperkukuh daya saing Malaysia menghadapi cabaran geoekonomi pada masa depan.