16 Oktober 2026, Putrajaya – Sesi Sembang Santai Bil. 21 telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Ooli Gunalan a/l Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan (pengurusan) serta warga MOSTI.
Program dimulakan dengan aktiviti senaman Radio Taiso sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal dan menyuntik semangat positif dalam kalangan warga kementerian sebelum meneruskan sesi perkongsian ilmu.
Sesi diteruskan dengan perkongsian bertajuk “Unsur Nadir Bumi dan Teknologi” yang disampaikan oleh Encik Muhammad Hasif bin Hasan, wakil daripada Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
Perkongsian ini memberikan pendedahan kepada warga MOSTI mengenai unsur nadir bumi serta kepentingannya dalam perkembangan teknologi dan industri berteknologi tinggi. Sesi ini turut menjadi platform untuk memperluas pengetahuan, bertukar pandangan dan meningkatkan pemahaman tentang perkembangan teknologi yang berpotensi menyumbang kepada kemajuan negara.
Penganjuran Sesi Sembang Santai ini mencerminkan komitmen MOSTI dalam membudayakan perkongsian ilmu, menggalakkan pembelajaran berterusan serta memupuk kesejahteraan warga kerja melalui gabungan aktiviti kecergasan dan pengisian ilmu.
Semoga sesi ini terus menjadi wadah yang bermanfaat dalam melahirkan warga MOSTI yang berpengetahuan, sihat dan sentiasa bersedia mendepani cabaran masa hadapan.




