Skip to main content
News

Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024

12 Ogos 2024, Kuala Lumpur – Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, dengan tema “Leading the Regional Innovation” telah dirasmikan hari ini oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sidang kemuncak ini bertujuan untuk mempercepat dan meraikan pengkomersialan penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) di Malaysia dalam usaha memacu negara ke arah menjadi peneraju serantau dalam inovasi.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan bahawa inisiatif ini telah menyaksikan pengkomersialan sebanyak 553 produk, teknologi dan perkhidmatan antara tahun 2016 hingga 2023 yang telah menjana pendapatan melebihi RM729.9 juta di pasaran tempatan dan global. Peningkatan ketara dapat dilihat bagi tahun 2023, jika dibandingkan dengan tahun 2016 hingga 2022, di mana 474 produk telah dikomersialkan dengan penjanaan pendapatan sejumlah RM540 juta. Tempoh 2022 – 2023 sahaja menyaksikan peningkatan sebanyak 16.67% berhubung bilangan produk yang dikomersialkan dan 35.17% berkait pendapatan yang dijana.
Bagi menghargai para perintis inovasi ini, Perdana Menteri telah menyampaikan Anugerah MCY kepada enam (6) teknousahawan atas kejayaan masing-masing sepanjang tahun 2023, di bawah enam (6) kategori termasuk Anugerah Keseluruhan. Para penerima Anugerah MCY membawa pulang hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM1 juta beserta trofi dan sijil penghargaan. Selain itu, penaja bersama, Brand Geeks, turut menawarkan penajaan fasilitasi Market Readiness Assessment, Turbocharge Bootcamp dan Monitoring & Intervention Support, bernilai RM194,400.
Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu (1) Memorandum Perjanjian. Antaranya ialah MoU antara Maxis dan Huawei serta MoA antara INDEPENDENCE-X dan SPACEBORN United.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, “Saya berbesar hati mengumumkan bahawa, setakat ini, kami telah menerima 337 permohonan untuk penggunaan logo MySTI pada produk dan perkhidmatan dari R&D tempatan, dengan 225 permohonan diluluskan. Oleh itu, saya sangat menggalakkan penyelidik, pemilik syarikat dan teknousahawan tempatan untuk memanfaatkan logo MySTI dengan segera.”
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri melancarkan portal Commercialisation Single Access (CSA) yang dipelopori oleh Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI). CSA adalah platform berpusat yang mengintegrasikan pangkalan data pengkomersialan sedia ada daripada pelbagai agensi kerajaan untuk mempermudah proses, meningkat kecekapan operasi dan mempertingkatkan impak pengkomersialan penyelidikan dan inovasi di Malaysia. Pada ketika ini, CSA telah menyenaraikan 600 produk yang disahkan dari inovasi penyelidikan tempatan yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia.
Sepanjang dua hari sidang kemuncak ini, pelbagai aktiviti lain turut dilaksanakan termasuk sesi panel, power talks, acara satelit, pameran produk R&D&I tempatan serta peluang perniagaan dan keusahawanan sosial yang dianjurkan oleh MRANTI bersama lebih daripada 10 pelabur.
MCY Summit 2024 turut dijayakan bersama Maxis sebagai penaja utama, yang komited untuk memajukan 5G dan inovasi digital yang memacu penerimaan teknologi di Malaysia, serta Brand Geeks sebagai penaja bersama.
Skip to content