Skip to main content
News

Southeast Asia Science Advice Network (SEA SAN) Platform Merapatkan Jurang Antara Sains Dan Polisi Di Asia Tenggara

20 Jun 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini telah menyampaikan ucapan pembukaan pada mesyuarat Rangkaian Nasihat Sains Asia Tenggara atau Southeast Asia Science Advice Network (SEA SAN)
Mesyuarat yang diadakan secara hibrid dengan tema ‘Merapatkan Jurang Antara Sains dan Polisi Di Asia Tenggara’ (‘Bridging the Gap between Science and Policy in Southeast Asia’) itu dihadiri oleh ahli SEA SAN yang merupakan individu-individu berpengalaman sebagai penasihat sains kepada pelbagai suruhanjaya negara atau kementerian di lima buah negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Dalam ucapan pembukaannya, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah menekankan bagaimana pandemik COVID-19 telah menghasilkan suatu penghargaan yang mendalam terhadap sains, serta hubungan dan sumbangannya kepada polisi.
Menurut beliau, hubungan kukuh antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan contoh kepentingan mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi penggubal dasar untuk berkerjasama dengan saintis bagi meningkatkan produktiviti negara seterusnya menyumbang kepada peningkatan tahap kepercayaan dan keyakinan orang awam terhadap kerajaan.

“Hubungan sains dalam menggubal polisi tidak boleh dinafikan kerana sains bukan sahaja berperanan sebagai sumber bukti dalam membangunkan sesebuah dasar, tetapi juga membantu menilai keberkesanannya terhadap masyarakat,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Dilancarkan pada tahun 2020, SEA SAN merupakan kajian rintis oleh International Network for Governmental Science Advice (INGSA) untuk membina sebuah rangkaian bagi perkongsian maklumat dan kerjasama antara wakil terpilih yang berpengalaman di sektor kementerian, penyelidikan dan akademik di rantau ini. Rangkaian SEA SAN diharap akan berkembang merangkumi semua negara di Asia Tenggara selepas penyelesaian kajian rintis tersebut pada akhir tahun ini.

Hadir sama pada mesyuarat SEA SAN tersebut adalah Profesor Rémi Quirion, Presiden INGSA dan Ketua Saintis Sulung Québec; Profesor Dr. Yongyuth Yuthavong, Penasihat Kanan Presiden Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Kebangsaan (NSTDA); dan Dr. Zurina Moktar, Ketua Bahagian Sains dan Teknologi Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat tersebut diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengerusi SEA SAN YBhg. Tan Sri Profesor Dr. Zakri Abdul Hamid. Beliau menyatakan harapannya agar hubungan yang lebih erat antara saintis dan penggubal dasar di seluruh rantau bagi mengukuhkan penggubalan dasar berasaskan bukti untuk manfaat semua.

Skip to content