9 Ogos 2022, Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini melancarkan lima (5) pelan hala tuju teknologi bagi memastikan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan diperhebat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara pembangun teknologi. Ia juga merupakan antara usaha mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing seterusnya meningkatkan produktiviti negara.
Lima (5) pelan hala tuju teknologi yang dilancarkan ialah:
1️⃣ Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik: Pembangunan Teknologi 2021-2030 yang bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah produk E&E negara berdasarkan kemajuan sains dan inovasi teknologi tinggi;
2️⃣ Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025 yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi Blockchain melalui kerjasama serta sinergi strategik;
3️⃣ Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem inovasi kepintaran buatan bagi pembangunan
Artificial Intelligence (AI) yang memanfaatkan kolaborasi quadruple helix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab;
4️⃣ Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional (Advanced Materials) 2021-2030 yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem inovasi bahan termaju tempatan dengan memberi fokus kepada empat (4) bahan termaju di mana Malaysia mempunyai kelebihan perbandingan;
5️⃣ Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030 yang mengenal pasti strategi pembangunan teknologi robotik negara bagi menjadikan Malaysia hub robotik dengan tumpuan dalam sektor berimpak tinggi
Muat turun Pelan Hala Tuju Teknologi di www.mosti.gov.my/dasar