Skip to main content
News

Teknologi Nuklear Dalam Penghasilan Benih Padi IS21 Bukti Usaha Kerajaan Bantu Meningkatkan Hasil Tanaman Negara

3 Jun 2022, Kuala Terengganu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini telah menyumbangkan kira-kira sejumlah 200 beg benih padi IS21 kepada 50 orang pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu sebagai salah satu platform tanggungjawab sosial korporat untuk rakyat di negeri Terengganu.

Majlis disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Amzad bin Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bertujuan untuk membantu dan memberi sumbangan kepakaran penyelidikan yang ada di Nuklear Malaysia demi manfaat dan kegunaan rakyat. Melalui sumbangan ini, diharapkan dapat memberi sinar dan semangat kepada para petani, sekali gus berupaya menjalin hubungan berterusan antara Nuklear Malaysia dengan pelbagai pihak.

Untuk makluman, kajian biak baka mutasi padi Nuklear Malaysia telah bermula sejak tahun 1980an. Nuklear Malaysia telah menggunakan teknologi nuklear dalam pertanian untuk membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran pelbagai tanaman. Kaedah mutasi aruhan menggunakan sinaran gamma telah digunakan untuk menghasilkan varieti baharu yang lebih baik daripada induknya.

Benih Padi IS21 ini merupakan antara pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi di Malaysia kerana mempunyai ciri-ciri agronomi yang sangat diperlukan dalam industri padi negara. IS21 ini telah diperakukan oleh Jawatankuasa Bantuan Kerajaan Kepada Industri Padi dan Beras (JKBKKIPB), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai benih padi sah dan boleh digunakan oleh petani di bawah skim subsidi Kerajaan. Dengan sahnya padi varieti ini, petani mempunyai banyak pilihan daripada pelbagai benih sah sedia ada dan ia juga membantu pihak Kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran sara diri atau SSL (Self-Sufficiency Level) padi negara.

Datuk Haji Ahmad Amzad dalam ucapannya berkata, “Benih padi IS21 ini mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi yang sering merugikan pesawah. Dari segi penghasilannya pula, potensi pengeluaran hasil baka padi IS21 ini boleh mencecah sehingga sepuluh (10) tan sehektar mengikut kawasan penanaman jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan.

Bagi memastikan sumber makanan negara terjamin, selamat dan mencukupi, kerajaan sentiasa berusaha ke arah mencari kaedah-kaedah terbaik yang mampu meningkatkan penghasilan padi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nuklear Malaysia juga telah menghasilkan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu Oligokitosan atau kitosan tersinar yang mula dibangunkan sejak tahun 2008 melalui kajian kerjasama antara negara-negara dalam Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA). Secara teknikalnya, Oligokitosan dihasilkan melalui teknologi penyinaran gamma serbuk kitosan dan dalam rekod kajian, ia berjaya meningkatkan hasil tuaian padi sehingga 25 peratus dengan menghalang kerosakan tanaman padi disebabkan virus karah (blast). Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kekuatan tangkai padi melalui peningkatan pembentukan lignin serta membentuk natural coat untuk hasil tanaman (rawatan digunakan untuk selepas tuaian).

Skip to content