5 Julai 2022, Cyberjaya – YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyaksikan pemeteraian kerjasama Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) dengan empat (4) organisasi iaitu Malaysian Research for Technology and Innovation (MRANTI), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Malaysia Industry Forward Association (MIFA), dan Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA dan seterusnya Program MSCA Smart Cities Networking And Talk Series.
Empat (4) bidang kerjasama yang telah dikenal pasti adalah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Smart Cities Sandbox antara MSCA dengan MRANTI, Inisiatif Bandar Pintar dan Program Kerjasama Industri (ICP) antara MSCA dengan TDA, Teknologi dan Perkongsian Pengetahuan dan Pembangunan Industri antara MSCA dengan MIFA, serta Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pengkongsian Pengetahuan serta Pembangunan Industri antara MSCA dengan MPIA.
Kesemua kolaborasi ini memberi penekanan terhadap kerjasama perkongsian teknologi dan pengetahuan, penyediaan nasihat teknikal dan bukan teknikal serta pembangunan industri ke arah bandar mampan dan pintar. Kumpulan Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) sebuah agensi di bawah MOSTI selaku sekretariat tetap MSCA sentiasa berusaha untuk merealisasikan program Bandar Pintar ini di seluruh negara.
Menurut YB Datuk Haji Ahmad Amzad, kesemua kerjasama ini membolehkan teknologi-teknologi baharu diuji di dalam persekitaran sebenar, selain menerima kemudahan kawal selia dan pembiayaan sebelum dibawa ke pasaran dan disebarkan ke seluruh negara.
“Saya optimis bahawa kerjasama yang dimeterai pada hari ini merupakan satu usaha yang berkesan dalam mencapai objektif untuk mengukuh penglibatan penggiat industri dan sektor kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan dan bandar pintar negara pada masa hadapan,” kata YB Datuk Haji Ahmad Amzad.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah YBrs. Dr. Raslan Ahmad, Naib Presiden Kanan MIGHT merangkap Pengerusi MSCA; YBhg. Datu Hj. Junaidi bin Haji Reduan, Datuk Bandar Kuching Utara; YBhg. Dato’ Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng, Timbalan Presiden MPIA; YBrs. En.Abdul Halim Bin Mohd Bisri, Naib Presiden Kanan MIGHT; YBrs. En. Khalid Yashaiya, Ketua Pegawai Strategi MRANTI; YBrs. Dr. Sharoul Jambari, Ketua Pegawai Eksekutif TDA; Ts Muhammad Didi Hendra Shah Bin Norharashid, Presiden MIFA; dan YBrs. En. Jacob Isaac, Pengarah Urusan Fusionex Group. Majlis tersebut turut disaksikan lebih 100 orang hadirin secara fizikal dan maya.