Skip to main content
News

YB Khairy Jamaluddin meluangkan masa mengadakan lawatan kerja ke Nuklear Malaysia

Putrajaya, 4 Jun 2020: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merupakan salah sebuah jabatan di bawah MOSTI yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), khidmat dan latihan dalam bidang teknologi nuklear bagi pembangunan negara. YB Khairy Jamaluddin meluangkan masa mengadakan lawatan kerja ke Nuklear Malaysia diiringi YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Ketua Setiausaha dan YBrs. Dr. Mohd. Nor Azman Bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi & Inovasi).
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Mohd. Abd. Wahab Bin Yusof berkongsi maklumat berkenaan peranan serta kepentingan Nuklear Malaysia dalam memacu pembangunan negara selain inisiatif bersama dalam menangani COVID-19.
YB Khairy berkesempatan melawat beberapa fasiliti utama Nuklear Malaysia antaranya Reaktor TRIGA PUSPATI yang merupakan satu-satunya reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia. Reaktor yang mula beroperasi pada tahun 1982 ini telah direka bentuk untuk melaksanakan dengan berkesan pelbagai bidang asas sains nuklear dan pendidikan.
Turut dilawati, Pusat Pembangunan Teknologi Sisa (WasTec). WasTec yang mula beroperasi sejak tahun 1984 ini bertanggungjawab menguruskan sisa radioaktif di seluruh negara. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh WasTec meliputi pelbagai sektor, khusus bagi sektor yang menggunakan bahan-bahan radioaktif dalam operasi mereka seperti di dalam bidang industri, perubatan, dan lain-lain institusi pengajian tinggi.