Skip to main content
News

YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini meneruskan sesi lawatan kerja ke Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV)

Putrajaya, 15 Jun 2020 – YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini meneruskan sesi lawatan kerja ke Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV). Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi YB Khairy ke semua agensi-agensi di bawah seliaan MOSTI. MDV adalah sebuah agensi di bawah MOSTI yang berperanan untuk menyediakan pembiayaan kewangan kepada syarikat-syarikat di dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), teknologi hijau, bioteknologi dan teknologi baharu.

Ketibaan YB Khairy dan delegasi daripada MOSTI telah disambut oleh wakil pengurusan MDV yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Nizam Mohamed Nadzri, Naib Presiden Kanan Perniagaan Aimi Aizreen Nasharuddin, Naib Presiden Kanan Kewangan dan Operasi Adrian Khor dan Naib Presiden Kanan Perancangan Korporat Yashvin Metha Vythy.

Satu sesi taklimat telah dijalankan bagi memberikan penerangan yang lebih terperinci berkenaan fungsi, peranan, prestasi dan halatuju MDV di dalam memperkasakan sektor teknologi di Malaysia melalui penyaluran bantuan pembiayaan kepada syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang tidak mempunyai akses kepada pembiayaan komersial terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat-syarikat permulaan.

Selain itu, MDV juga turut berkongsi status terkini berhubung program pembiayaan Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) yang baru dilancarkan sekitar bulan Mei yang lalu. TSFRF merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia dan MOSTI untuk membantu syarikat-syarikat pemula teknologi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 melalui peruntukan dana berjumlah RM100 juta kepada MDV untuk pelaksanaan program tersebut.

Pembiayaan di bawah program TSFRF ini adalah ditawarkan di dalam bentuk modal kerja bagi membantu aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar kepada syarikat pemula teknologi yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan, yang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa dan sedang menghadapi kekangan kewangan.

Program ini serta semua rangkaian program-program pembiayaan MDV yang lain adalah bertujuan untuk menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkasakan sektor teknologi dalam usaha memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi serta mencapai matlamat sebagai sebuah negara maju.

 

Skip to content