01 Mei 2025, Kuala Lumpur – YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI bersama-sama warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini turut menyertai Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Hari Pekerja 2025 ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sambutan ini dihadiri oleh lebih daripada 10,000 pekerja yang terdiri dari kesatuan, badan berkanun, sektor awam dan swasta. Dengan tema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, sambutan ini menzahirkan penghargaan terhadap jasa para pekerja sebagai tulang belakang negara dan pelaksana agenda Malaysia MADANI yang mengangkat prinsip kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.
YAB Perdana Menteri turut menyampaikan amanat dan beberapa Anugerah Hari Pekerja pada perhimpunan tersebut bagi menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.
Pada tahun ini, 14 Anugerah telah disampaikan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen. Tahun ini Kementerian Sumber Manusia juga memperkenalkan 2 kategori Anugerah Hari Pekerja yang baru iaitu:
i. Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan)
ii. Anugerah Media Terbaik (Agensi)