28 Mac 2023, Johor Bahru – YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Produk Cendawan Tiram Kelabu ke Burger Cendawan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Pontian, Johor.
Lawatan ini turut disertai oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) dan En. Nik Kamaruzaman bin Nik Husin, Setiausaha Bahagian PSTI. Delegasi MOSTI telah disambut oleh YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekuitf YIM dan Cik Noor Afiza Ahmad Hamidi, Pegawai Rubber Industry Smallholders Development Authority (RISDA) daerah Pontian
Teknologi Penghasilan Burger Cendawan yang diperkenalkan merupakan satu inovasi penghasilan formulasi ‘patty burger’ berkualiti daripada cendawan tiram dengan menggunakan teknologi mesin automatik pengadun, pencetak, pengisar dan yang berkaitan dengan hasil kajian YIM bersama RISDA.
Projek yang diketuai oleh YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh merupakan projek kerjasama RISDA dan telah mendapat pembiayaan dana di bawah Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) MOSTI.
Projek ini telah berjaya dalam memindahkan pengetahuan teknik pemprosesan ‘patty burger’ cendawan dalam kalangan komuniti disamping dapat meningkatkan produktiviti dalam penghasilan ‘patty burger’ cendawan dengan menggunakan mesin automatik sepenuhnya serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti dalam pembuatan bongkah, pentadbiran, kewangan, operasi dan pemasaran perniagaan cendawan tiram.
MOSTI komited memberi sokongan dan menggalakkan hasil inovasi tempatan digunakan oleh masyarakat secara inklusif, terutama dalam membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan B40 dan kesejahteraan yang lebih terangkum. Langkah berikutnya adalah memastikan projek dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh komuniti.



