5 Julai 2023, Kuala Lumpur – Malam Apresiasi Networking Inovator Sosial (MaNIS) berlangsung mlam tadi bagi meraikan dan mengiktiraf pencapaian inovator sosial yang memberi impak positif kepada masyarakat bersama-sama dengan Yayasan Inovasi Malaysia. MaNIS menghimpunkan para inovator yang telah menunjukkan kreativiti, inovasi dan dedikasi yang luar biasa untuk menyelesaikan cabaran sosial.
Majlis diserikan dengan kehadiran YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, Barisan pihak pengurusan MOSTI, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIM serta Ketua-ketua jabatan dan agensi.
Beberapa anugerah telah disampaikan oleh YB Timbalan Menteri iaitu:
● Enam (6) penerima Anugerah Duta Belia Inovator Sosial 2022 yang merupakan graduan universiti tempatan;
● Tujuh (7) penerima sijil Pembelajaran Sepanjang Hayat – SKM Inovator Sosial daripada pelbagai bidang;
● 18 penerima geran bagi program MyIS Komuniti; dan
● 10 penerima geran MyIS Akar Umbi.
Seorang inovator Yayasan Inovasi Malaysia, Norazman bin Ahmat Syafri mendapat anugerah Malaysia Book of Record untuk inovasi bernama Sambung Baca Bahasa Arab (SaBBAR). Modul SaBBAr ini merupakan satu kaedah ekslusif dan pantas yang merupakan padanan huruf hijaiyyah-rumi dan baris-rumi bagi membantu golongan sasaran membaca perkataan bahasa arab khususnya dan
Al-Qur’an amnya.
Modul SaBBAr menerapkan unsur didik hibur, gamifikasi dan pelbagai bahan digital bunga semun yang semuanya telah disatukan sebagai pembelajaran yang berkonsep interaktif dan inovatif seperti unsur Augmented Reality (AR), Aplikasi dan Virtual Reality (VR).
Pada malam itu juga menyaksikan dua (2) pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) antara YIM dengan Malaysia Board of Technologists (MBOT) dan Universiti Malaya (UM) untuk memperkukuh dan mempertingkatkan usaha sama agensi-agensi yang terlibat dalam mencapai objektif inisiatif inovasi sosial ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju di masa hadapan.
MaNIS diadakan bersempena dengan Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Julai 2023 bertempat di Menara MARA, Kuala Lumpur.