17 November 2023, Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya meraih TEMPAT KETIGA bagi Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik (Peruntukan di bawah RM1 bilion) yang telah diterima di Majlis Anugerah Pembangunan Negara (APN) Tahun 2023 anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2023 ini julung kali diadakan untuk mengiktiraf inisiatif dan komitmen kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program/projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah hadir menerima Anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz.
Anugerah ini merupakan platform yang tepat bagi menyebarluaskan kejayaan dan amalan baik pengurusan program/projek pembangunan kerajaan.
Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MOSTI khususnya Bahagian Pembangunan/ Jabatan/ Agensi yang sentiasa komited dalam memastikan prestasi perbelanjaan dan tatakelola program/projek pembangunan ditadbir urus dengan baik selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan Malaysia MADANI bagi kemajuan negara.