Putrajaya, 5 Mac 2014 – Ibu pejabat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang terletak di kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya menjadi satu-satunya bangunan yang dilengkapi dengan peralatan saintifik iaitu peralatan pencerap cuaca automatic yang dikenali sebagai Automated Weather Station (AWS) dan alat pengesan radioaktif.
AWS merupakan alatan yang berkeupayaan memaparkan nilai pengukuran elemen-elemen cuaca semasa yang terdiri daripada angin, suhu udara, jumlah hujan dan tekanan udara secara terus-menerus selama 24 jam sehari. Peralatan ini dibangunkan oleh MetMalaysia dan pemaparan maklumatnya dapat dilihat menerusi Kios Cuaca yang terdapat di lobi bangunan ini.
Alat pengesan radioaktif atau disebut sebagai Gate Monitor pula merupakan peralatan yang dibangunkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan telah beroperasi di bangunan ini sejak akhir tahun 2013. Alat ini berkemampuan untuk mengesan sinaran gamma aras rendah yang berada dalam udara dengan aktiviti maksimum sehingga 100 microsieverts per jam.
Dalam ucapan pelancarannya, YB. Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pemasangan AWS dijangka akan diperluas di bawah projek 1 AWS 1 Daerah dan sebanyak 40 unit lagi akan dipasang secara berperingkat sehingga tahun 2015. Bagi peralatan Gate Monitor pula, pemasangannya bertujuan bagi mendapatkan data-data sinaran khususnya sinar gamma bagi tujuan rujukan.