Skip to main content
NewsFokusFocus April 2018 (Special Edition of National Science Week)

BICARA MENTERI: MEMBUDAYAKAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA

By 2018-04-07#!28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:005528#28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:00-1+08:002828+08:00x28 09pm28pm-28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:001+08:002828+08:00x282021Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800591592pmTuesday=321#!28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:00+08:002#February 9th, 2021#!28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:005528#/28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:00-1+08:002828+08:00x28#!28Tue, 09 Feb 2021 13:59:55 +0800+08:00+08:002#No Comments

Minggu ini adalah minggu yang amat bermakna buat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana buat julung-julung kalinya MOSTI dapat menganjurkan Minggu Sains Negara yang berlangsung pada 1 hingga 7 April 2018. Lebih membanggakan, Minggu Sains Negara 2018 yang disambut dengan tema ‘Negaraku Berinovasi’ ini turut diraikan oleh para saintis, penyelidik, guru, pelajar dan masyarakat secara serentak di seluruh negara.

Sebagaimana yang telah diputuskan oleh Kabinet, Minggu Sains Negara akan disambut pada minggu pertama April setiap tahun dan akan menjadi agenda utama kerajaan dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat. Minggu Sains Negara diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap peranan sains dan kepentingannya kepada kesejahteraan sosioekonomi negara. Penganjuran Minggu Sains Negara ini juga merupakan satu inisiatif khusus untuk menyemarakkan gerakan sains kebangsaan secara menyeluruh dan melibatkan kerjasama semua negeri agar program kesedaran dan pembudayaan STI secara bersepadu dapat dilaksanakan secara besar-besaran.

Penganjuran Minggu Sains Negara ini adalah selari dengan sambutan Hari Sains Sedunia yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) semenjak tahun 2002. Penganjuran Minggu Sains telah diamalkan di beberapa buah negara maju seperti United Kingdom, Norway dan Kanada, manakala negara-negara seperti India dan Thailand memperuntukkan satu hari bagi sambutan Hari Sains.

Pengisian Minggu Sains Negara yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti pameran, forum, ceramah, pertunjukan, bengkel robotik dan permainan sains diharapkan dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti bidang sains dan mempelbagaikan kaedah pembelajaran sains agar lebih menarik dan mudah difahami.

Pemilihan tema ‘Negaraku Berinovasi’ bagi sambutan Minggu Sains Negara 2018 adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan satu gerakan melibatkan segenap lapisan masyarakat untuk berfikir, bertindak dan melahirkan daya cipta baharu melalui pengaplikasian STI untuk menghasilkan faedah bagi dinikmati oleh semua. Negaraku Berinovasi ini bukanlah gerakan yang dapat dijayakan dalam tempoh sehari, seminggu, sebulan ataupun setahun, tetapi memerlukan masa untuk dipupuk dan disemai dalam diri setiap rakyat Malaysia sehingga kita berjaya membudayakan inovasi dalam segenap aspek kehidupan. Ke arah itu, pembudayaan inovasi perlu dimulakan dengan penghayatan ilmu dan pengalaman dalam usaha merangsang gaya pemikiran kreatif. Penghayatan ilmu dan pengalaman ini seterusnya diterjemahkan dalam bentuk amalan agar menjadi tabiat yang baik dalam kehidupan seharian.

NajiB RazakBersempena dengan sambutan Minggu Sains Negara 2018 ini juga, YAB Perdana Menteri menerusi perkongsian di Facebook beliau menyeru agar setiap lapisan masyarakat terutamanya para pelajar dan generasi muda untuk memupuk minat dan mengutamakan sains. Beliau turut menyeru agar para pengajar dan guru menjadikan mata pelajaran tersebut sebagai sesuatu yang menarik dan mudah diikuti serta menyeru ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak meminati sains dan matematik. Hal ini adalah kerana, beliau percaya melalui pendekatan ini, kita mampu menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang berkaliber dan berkemahiran dalam menyahut cabaran perubahan teknologi industri 4.0 dan era perubahan industri generasi keempat atau The Fourth Industrial Revolution.

Merujuk pada perkongsian YAB Perdana Menteri itu, kita perlu akui bahawa dunia hari ini sedang berhadapan dengan gelombang Revolusi Industri Keempat yang amat bergantung kepada pengetahuan berkaitan STI dan kemahiran dan penguasaan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Sekiranya kita tidak menguasai STEM, kita akan ketinggalan dalam arus modenisasi global. Oleh hal yang demikian, kita perlu merancang pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan dan pekerjaan masa hadapan termasuk pekerjaan yang belum wujud pada ketika ini.

Pada hemat saya, masyarakat Malaysia hari ini bukan hanya perlu memanfaatkan teknologi terkini tetapi turut menjadi penyumbang kepada kemajuan teknologi tersebut. Sehubungan dengan itu, bagi melahirkan generasi penyumbang kepada kemajuan teknologi sejagat, minat terhadap bidang STEM dalam kalangan generasi muda perlu terus dipertingkatkan. Untuk mencapai hasrat ini, para pelajar pada peringat sekolah rendah perlu menguasai bidang STEM bagi menghadapi cabaran pekerjaan pada masa akan datang dan merealisasikan aspirasi Transformasi Negara 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Ke arah itu, YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2018 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi penubuhan Pusat STEM Nasional. Pusat ini ditubuhkan dengan tujuan untuk membentuk kaedah pembelajaran terkini serta mengetengahkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Berasaskan Inkuiri (IBSE) bagi melatih para guru supaya lebih bersemangat dan menjiwai STEM. Inisiatif yang dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara MOSTI dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini dijangka memberi manfaat kepada 138,330 orang guru STEM dan lebih 5 juta orang pelajar di seluruh negara.

Di samping itu, MOSTI turut bekerjasama dengan pelbagai kementerian khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan Pelan Tindakan Strategik STEM Nasional 2018-2025. Pelan ini disediakan untuk memperkasakan ekosistem STEM negara melalui penetapan st rategi dan pelan tindakan menyeluruh yang melibatkan akademik, guru, pelajar, dan pelbagai peringkat masyarakat. Pelan ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan untuk dilaksanakan.

IBSE 300x187 1Saya juga percaya, peningkatan kesedaran terhadap kepentingan STI adalah sangat penting kerana penyelesaian kepada isu dan cabaran masa hadapan banyak bergantung kepada kemajuan STI dan sejauh mana kita menguasai teknologi tersebut. Kita perlu bersedia menghadapi cabaran yang dipengaruhi oleh ledakan teknologi disruptif. Untuk itu, kita perlu membangunkan masyarakat yang berliterasi saintifik serta membudayakan STI dalam setiap dimensi kehidupan. Namun, berdasarkan Kajian Kesedaran Awam Terhadap STI 2014 yang dijalankan oleh MOSTI, didapati bahawa tahap minat rakyat Malaysia terhadap STI masih rendah berbanding dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Oleh itu, MOSTI akan terus berusaha dan merangka pelbagai program kesedaran STI bagi meningkatkan lagi minat dan kesedaran STI agar setanding dengan negara-negara maju.

Salah satu usaha yang dijalankan oleh MOSTI bagi memupuk budaya kecemerlangan yang berterusan dalam bidang STI ialah mengiktiraf sumbangan dan pencapaian para saintis, penyelidik dan juruteknologi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara. Sehubungan dengan itu, bagi menghargai sumbangan dan pencapaian tersebut, tiga anugerah telah disampaikan kepada para pemenang semasa Majlis Pelancaran Minggu Sains Negara 2018 yang diadakan di Pusat Sains Negara pada 3 April yang lalu.

MOSTI buat pertama kalinya mempertandingkan anugerah baharu iaitu Anugerah Khas STEM sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan individu atau organisasi yang signifikan dalam bidang STEM dan STI. Anugerah Khas STEM terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori ‘techprogram’ yang dimenangi Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF), kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dimenangi  Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi (ASTI) dan kategori media dimenangi Majalahsains.com.

aaa 8 300x200 1Dua anugerah lagi ialah Anugerah Saintis Muda Negara bagi mengiktiraf pencapaian saintis muda di bawah 35 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Anugerah Juruteknologi yang mengiktiraf sumbangan juruteknologi serta kakitangan separuh ikhtisas. MOSTI menganugerahkan Anugerah Saintis Muda Negara kepada Pensyarah Kanan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Oon Chern Ein yang menjalankan kajian berkaitan rawatan kanser, manakala Anugerah Juruteknologi Negara dianugerahkan kepada Penolong Pegawai Penyelidik, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Puan Wan Saridah Wan Omar yang menjalankan kajian berkaitan peningkatan nilai sawit melalui pembangunan produk hiliran.

Dalam pada itu, golongan saintis negara yang telah menabur bakti dan mengharumkan nama negara dalam bidang sains juga wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam hubungan ini, saya bercadang untuk memperkenalkan anugerah pengiktirafan khas kepada mereka. Perkara ini akan diperincikan lagi dan akan diumumkan setelah diluluskan.

MUS 4102 300x282 1Bersempena dengan Minggu Sains Negara 2018 ini juga, telah berlangsung Majlis Pelancaran Robot Serangga Mini yang Terbanyak pada 5 April 2018 yang mana kita telah berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records apabila berjaya menghasilkan 1,700 unit robot serangga mini. Ini adalah hasil daripada bengkel penghasilan robot serangga mini yang telah diadakan oleh Pusat Sains Negara kepada para pelajar sekolah tahun 5 dan 6 dan tingkatan 1 dan 2 yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan asas robotik menggunakan konsep litar ringkas dengan kos yang rendah.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dan bekerjasama dengan MOSTI dalam menjayakan sambutan Minggu Sains Negara 2018 di seluruh negara antaranya ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah-sekolah, institusi pendidikan tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan pihak media. Tahniah kepada semua yang terlibat kerana berjaya membawa anjakan baharu dalam pembangunan bidang STI negara. Saya juga berharap usaha dan kerjasama ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dalam penganjuran Minggu Sains Negara pada tahun-tahun akan datang dan seterusnya menjayakan gerakan ‘Negaraku Berinovasi”.

YB DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Skip to content