7 September 2023, Kuala Lumpur – Majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), peneraju startup peringkat awal dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) berlangsung hari ini dengan disaksikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Dokumen MoC ini ditandatangani oleh Norman Matthieu Vanhaecke, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle dan Aina Zahari, Pengarah, Strategi Korporat Bursa Malaysia.
MoC antara Cradle dan Bursa Malaysia ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tentang peluang pembiayaan yang tersedia di Malaysia, termasuk yang ditawarkan dalam pasaran ekuiti. Selain itu, kerjasama ini bertujuan untuk memudahkan usaha mengenal pasti startup yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada program Fund Funnel, iaitu sebuah
inisiatif oleh MOSTI untuk menyelaras pilihan pembiayaan serta menawarkan sokongan menyeluruh kepada usahawan sepanjang perjalanan dalam pembiayaan pembangunan perniagaan, dari peringkat permulaan (seed stage) hingga ke peringkat tawaran awam permulaan (IPO).
Pelaksanaan program Fund Funnel ini juga selari dengan Intervensi Dua yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, iaitu menekankan kepentingan penstrukturan semula ekosistem pelaburan tempatan bagi meningkatkan kecekapan serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, justeru, memudahkan akses pembiayaan kepada usahawan muda.
Mengulas tentang kepentingan kerjasama ini, YB Chang berkata “Program Fund Funnel dapat menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh usahawan startup seperti kekurangan maklumat mengenai peluang pembiayaan daripada Kerajaan, dalam masa yang sama, menjelaskan tentang agensi-agensi Kerajaan yang menawarkan pembiayaan bagi setiap peringkat.
Melalui kerjasama ini, Cradle akan menyediakan maklumat tentang pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk disenaraikan. Cradle mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam ekosistem startup dan telah membantu lebih 1,000 startup yang berasaskan teknologi di Malaysia daripada pelbagai peringkat. Startup yang disokong oleh Cradle juga mempunyai kadar pengkomersilan tertinggi dalam kalangan agensi pembiayaan di Malaysia.
Manakala Bursa Malaysia akan menganalisis data yang dikongsi oleh Cradle dan
bekerjasama untuk menganjurkan program yang memberi tumpuan kepada akses
pembiayaan. Selain itu, Bursa Malaysia akan menyokong Cradle dalam sesi
perkongsian serta membantu usahawan startup memahami dengan lebih baik
bagaimana pasaran ekuiti boleh menyumbang kepada pertumbuhan mereka. Ini adalah objektif penting dalam membantu usahawan startup untuk merancang pertumbuhan masa depan mereka dan mengenal pasti pembiayaan yang diperlukan dari peringkat awal hingga menjadi syarikat yang disenaraikan secara awam.
Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, “Kerjasama ini
mencerminkan hasrat Bursa Malaysia untuk membantu Cradle dalam membina
ekosistem startup yang berkembang maju dengan menangani masalah utama yang
biasa dihadapi oleh usahawan tempatan, iaitu akses kepada peluang pembiayaan.
Kami komited untuk menangani cabaran ini dan membantu usahawan muda dalam
perjalanan pembiayaan, dan akhirnya, membantu mempercepatkan pertumbuhan
bisnes dan membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia.