Skip to main content
News

Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022

31 Mei 2022, Sandakan – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara, bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) telah menganjurkan Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022. Program ini berlangsung pada 31 Mei hingga 8 Jun 2022 bermula di Sandakan, seterusnya ke Lahad Datu dan akan berakhir di Tawau.

Program dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini diadakan bertujuan untuk menarik minat dan meningkatkan kefahaman masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik untuk mendalami bidang sains angkasa.

“Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah merupakan langkah pertama ke arah menyemarakkan kefahaman astronomi. Ia penting untuk menjadi pemula atau pencetus kepada agenda sains angkasa negara kerana Sabah masih kekal sebagai lokasi langit gelap penuh berbintang yang tiada atau sangat kurang pencemaran cahaya,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Tambahnya, “Sabah mempunyai keunikannya sendiri berbanding dengan lokasi-lokasi lain di Malaysia. Negerinya yang terbentang luas masih mampu menghidangkan langit malam yang bebas daripada pencemaran cahaya. Ini merupakan satu aset yang menjadi daya penarik bagi pelancong untuk hadir ke Sabah bagi melihat pemandangan langit khatulistiwa menerusi astro-tourism (pelancongan astronomi).”

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba juga telah melancarkan program ‘Space Insight Planetarium Golden Heart’ khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti cacat penglihatan, kerdil dan berkerusi roda. Program adalah bertujuan untuk memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) di Malaysia mempunyai akses dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat terhadap program-program pendidikan astronomi dan sains angkasa yang dilaksanakan.

Hadir sama adalah YB Datuk Haji Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Teknologi MOSTI, YBrs. Tuan Zainudin Aman, Setiausaha Tetap KSTI, YBrs. Puan Maria Chong, Timbalan Setiausaha Tetap I KSTI, dan YBrs. Puan Hajah Anita Haji Bahari, Pengarah Planetarium Negara, YBhg. Puan Faridah Giau, Timbalan Presiden 1, Majlis Perbandaran Sandakan, YB Datuk Haji Zakaria Bin Haji Mohammad Edris, Ahli Parlimen Libaran dan YB Tuan Mokran Bin Ingkat, Adun N.51 Sungai Manila.

Pelbagai aktiviti telah disediakan oleh Planetarium Negara dan agensi terlibat termasuk tayangan filem angkasa melalui mini planetarium, pencerapan matahari dan bintang, demonstrasi replika Mars Rover, penerokaan angkasa lepas melalui Virtual Reality (VR), bengkel AstroRover oleh U-Science Universiti Malaysia Sabah, demonstrasi Sains seperti pertunjukan cahaya oleh Petrosains, demonstrasi sains kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia dan aktiviti pencerapan objek angkasa oleh Dark Sky Malaysia. Selain itu, program ini turut menyediakan aktiviti interaksi hands-on untuk kanak-kanak seperti PlanetKids, Sembang Astronomi, trvia dan siri kuiz Astronomi.

Maklumat lanjut mengenai Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah boleh didapati menerusi Facebook rasmi Planetarium Negara atau e-mel ke info@planet.gov.my.

Skip to content