Skip to main content
News

MOSTI Lancar e-BECA Bantu Rancak Industri Pengayuh Beca Dan Pelancongan Di Kuala Terengganu

2 Jun 2022, Kuala Terengganu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan elekrik beca (e-BECA) yang menggunakan teknologi boleh dicas menggunakan tenaga solar.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Haji Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Produk inovasi e-BECA yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri mesra alam iaitu menggunakan bateri yang boleh dicas menggunakan kuasa solar. Ia juga dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik yang mampu merancakkan industri pelancongan di Kuala Terengganu.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Haji Ahmad Amzad berkata, kelestarian projek ini melibatkan tiga elemen utama iaitu ekonomi, sosial, dan persekitaran. Pendapatan pengayuh beca juga dapat ditambah baik dengan peningkatan jumlah pelancong dan bilangan kayuhan (rides), selain peningkatan pendapatan komuniti sekeliling termasuk peniaga produk pelancongan di kalangan warga tempatan, seterusnya mewujudkan ekonomi sosial yang lebih baik”, ujar beliau.

Idea e-Beca Terengganu ini tercetus menerusi inisiatif Kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif, yang mana SME Corp. bertindak sebagai pembiaya program utama dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bertindak sebagai agensi pelaksana dengan menganjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa Fasa PKP berkuatkuasa.

Pertandingan inovasi ini merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan beca di negeri Terengganu dengan mengenal pasti inovasi prototaip beca yang berteknologi tinggi, mesra pengguna dan bercirikan norma baharu yang boleh dimanfaatkan oleh pengusaha beca sekaligus menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang perkhidmatan beca.

Pembangunan inovasi e-BECA ini merupakan kerjasama di antara YIM, SME Corp. Malaysia dan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu.

Skip to content