27 Mei 2023, Negeri Sembilan – Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan merupakan anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Teknologi Mara Cawangan Negeri Sembilan. Karnival telah dirasmikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan berjaya menarik lebih 1,500 penyertaan daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta orang awam.
Penganjuran Karnival MSN 2023 ini antara lain adalah untuk meraikan kepelbagaian STI di Negeri Sembilan dan juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi serta menarik minat rakyat setempat khususnya para pelajar dan belia dalam bidang teknologi.
Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang Karnival MSN 2023 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 – 27 Mei 2023.
Antara aktiviti yang diadakan untuk para pengunjung ialah tayangan Mini Planetarium, Pencerapan Solar, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Aktiviti Robotik, DIY Roket, Planet VR dan Pocket Talk STI.
Dalam ucapannya YB Chang Lih Kang menekankan bahawa pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030. Minggu Sains Negara disusun bagi menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memilih jurusan dalam bidang berkaitan STI.
Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri Sembilan ini merupakan penganjuran sulung dalam kalendar siri Karnival MSN 2023 Peringkat Negeri di seluruh negara.
Turut sama dalam penganjuran kali ini adalah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ini merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam usaha untuk menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran.
Maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara boleh dilayari menerusi laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my