Skip to main content
News

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics Peringkat Negeri Sabah

24 Ogos 2023, Sabah – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics Peringkat Negeri Sabah dirasmikan oleh YB. Datuk Dr Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, JP, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang mewakili YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan aluannya menegaskan mengenai komitmen MOSTI dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembudayaan STI secara bersepadu, konsisten dan inklusif seterusnya meningkatkan kesedaran dan menimbulkan minat pelajar dalam bidang STEM.
Justeru, penganjuran MSN dan Malaysia Techlympics memastikan capaian yang lebih luas kepada kumpulan sasar di seluruh negara seperti pelajar sekolah, belia kolej dan institusi pengajian tinggi, para guru, pemain industri serta orang awam, pelaksanaannya turut dilaksanakan secara dalam talian melalui kerjasama antara jabatan serta agensi di bawah MOSTI, institusi pengajian tinggi, badan swasta dan persatuan serta rakan-rakan strategik yang berkaitan.
Sementara itu, YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor dalam ucapannya yang dibacakan oleh YB Datuk Mohd Ariffin berkata kerajaan Sabah sentiasa menitikberatkan pembangunan dan pembudayaan STI di negeri ini.
Katanya, bagi mempergiat pembudayaan dan pengaplikasian STI di peringkat akar umbi, kerajaan negeri dengan bantuan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) melaksanakan beberapa program baharu seperti Anugerah Sains Sabah, Program Jelajah Astronomi Sabah dan Sabah Malaysia Techlympics 2023.
Pada majlis sama turut disampaikan Dana Program MyIS Komuniti dari Yayasan Inovasi Malaysia kepada GE Nitrate Solution bagi projek Pertanian Moden bersama Komuniti di Daerah Penampang dan SIRIM Berhad bagi projek Teknologi Rawatan Air Bersih Ultra Turasan untuk kegunaan harian penduduk kampung di Kalabakan, Sabah. Dana dibawah Geran Pembangunan Cradle Fun Sdn Bhd iaitu CIP Spark diserahkan kepada Syarikat Synxsoft Sdn. Bhd.
Karnival MSN Peringkat Negeri Sabah ini dianjurkan oleh MOSTI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah akan berlangsung selama 3 hari bermula 24 Ogos sehingga 26 Ogos 2023 bertempat di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Skip to content