Skip to main content
News

Kursus Penyiasatan Insiden dan Kemalangan Aktiviti Angkasa

23 Ogos 2023, Putrajaya – Kursus Penyiasatan Insiden dan Kemalangan Aktiviti Angkasa anjuran Bahagian Penguasa Angkasa (BPA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan tenaga pengajar dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) telah diadakan selama dua (2) hari bermula 23 hingga 24 Ogos 2023 bertempat di Dewan Perhimpunan MOSTI.
Seramai 30 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada anggota Lembaga Angkasa Malaysia, wakil Kementerian, Jabatan, Agensi dan Bahagian-Bahagian di MOSTI yang berkaitan. Ucapan aluan kursus telah disampaikan oleh Penguasa Angkasa pada 23 Ogos 2023.
Kursus ini memfokuskan untuk memberi pengetahuan dan kefahaman asas kepada peserta mengenai aspek penting dalam bidang siasatan seiring dengan kehendak Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834]. Selain itu, kursus ini juga dapat meningkatkan kemahiran peserta mengenai kaedah serta teknik mengendalikan penyiasatan yang betul dan berkesan dalam menyediakan kertas siasatan yang kukuh serta berintegriti.
Kursus ini merupakan kursus pertama dari siri-siri kursus yang akan dianjurkan oleh BPA dalam membangunkan kepakaran dalaman MOSTI dan negara bagi bidang perundangan angkasa dalam usaha menjayakan mandat Akta 834. Kursus ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta kerana pengalaman dan kepakaran penceramah dalam menguruskan siasatan kemalangan udara boleh dirujuk dan diaplikasikan mengikut kesesuaian semasa mengendalikan kemalangan dan siasatan disebabkan oleh aktiviti angkasa.
Skip to content