Skip to main content
News

Kunjungan Hormat Team Kencana FELDA Sahabat: Meneliti Potensi Inovasi Sosial Anak Tempatan

20 Oktober 2026, Kuala Lumpur – Petang tadi, satu kunjungan hormat telah diadakan kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Dr. Haji Mohammad Yusof bin Apdal, oleh Team Kencana FELDA Sahabat, Lahad Datu, bersama wakil pengurusan FELDA dan wakil dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Parlimen. Kunjungan ini memberi ruang untuk membincangkan potensi pengembangan dan pengkomersialan Mesin Pelupusan Naskhah Keagamaan, hasil idea dan inovasi anak tempatan yang ditempatkan di Masjid Al-Ubudiyyah, Desa Kencana, FELDA Sahabat, Lahad Datu.

Inovasi ini menyediakan kaedah pelupusan naskhah al-Quran dan teks keagamaan yang lebih teratur serta mengambil kira keperluan pematuhan syarak. Perbincangan turut menyentuh potensi memanfaatkan abu yang terhasil sebagai bahan untuk menghasilkan tukun tiruan, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan inovatif yang menghubungkan keperluan masyarakat dengan usaha pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem marin.
MOSTI sentiasa menggalakkan penerokaan dan pembangunan inovasi tempatan yang berpotensi memberikan manfaat kepada masyarakat. Melalui sokongan serta kerjasama strategik dengan pihak berkaitan, inovasi seperti ini berpeluang dikembangkan agar dapat dimanfaatkan secara lebih meluas, di samping membuka laluan kepada pengkomersialan hasil ciptaan anak tempatan.
Skip to content