2 October 2026, Jepun – Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia yang diketuai oleh YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), telah mengadakan lawatan kerja ke Loji Kuasa Nuklear Tsuruga (Tsuruga Nuclear Power Plant-TNPP) di Jepun bagi mendalami aspek pengurusan fasiliti nuklear, keselamatan dan komunikasi awam.
Turut menyertai lawatan ini ialah YBrs. Dr. Shukri Mohd daripada Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) serta delegasi Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi Bersama (Industri), MIGHT.
Program bermula di Tsuruga Atomic Pavilion Centre dengan taklimat oleh Japan Atomic Power Company (JAPC), pengendali loji berkenaan. Delegasi diberikan penerangan mengenai gambaran keseluruhan loji dan pengurusannya sebelum mengikuti lawatan tapak di bawah pengawasan rapi pihak tuan rumah.
Taklimat dan lawatan tapak merangkumi Unit 1 yang sedang melalui proses penyahtauliahan; aktiviti pemeriksaan di Unit 2 yang masih tidak beroperasi; serta aspek perancangan, kejuruteraan dan persediaan pembinaan bagi cadangan Unit 3 dan Unit 4. Delegasi turut berpeluang melihat dari dekat kemudahan reaktor terpilih dan kolam penyimpanan bahan api nuklear terpakai, sekali gus memperoleh pendedahan secara langsung mengenai prosedur keselamatan dan kawalan sekuriti yang dilaksanakan sepanjang lawatan.
Sekembalinya ke pusat tersebut, delegasi menyertai sesi soal jawab bagi membincangkan dengan lebih lanjut perkara yang diperhatikan sepanjang lawatan. YBhg. Datin Safida Zalma bertanyakan mengenai keperluan keselamatan dan kawal selia nuklear Jepun yang telah diperkukuh, serta usaha advokasi mendekati
masyarakat dan meningkatkan kefahaman awam mengenai nuklear. Pihak Jepun berkongsi pengalaman, cabaran dan pendekatan untuk menanganinya, sekali gus memberikan perspektif berharga yang dapat dijadikan rujukan oleh Malaysia, khususnya dalam aspek keselamatan, komunikasi awam dan libat urus masyarakat.
MOSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JAPC dan Japan Atomic Industrial Forum (JAIF)-International Cooperation Center (JICC), khususnya Encik Shiro Saito dan Encik Kazuhiro Otaka daripada JAPC serta Encik Toshihiro Yamakawa daripada JICC, atas sambutan mesra, taklimat yang menyeluruh serta kesudian berkongsi pengalaman.
Program ini telah memperkukuh pertukaran pengetahuan dan hubungan dua hala antara institusi Malaysia dengan institusi Jepun dalam penggunaan teknologi nuklear bagi maksud aman.


