9 November 2021, Kuala Lumpur- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengumumkan pembentukan 𝙈𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖𝙣 𝙍𝙚𝙨𝙚𝙖𝙧𝙘𝙝 𝘼𝙘𝙘𝙚𝙡𝙚𝙧𝙖𝙩𝙤𝙧 𝙛𝙤𝙧 𝙏𝙚𝙘𝙝𝙣𝙤𝙡𝙤𝙜𝙮 𝙖𝙣𝙙 𝙄𝙣𝙣𝙤𝙫𝙖𝙩𝙞𝙤𝙣 (𝗠𝗥𝗔𝗡𝗧𝗜), melalui penggabungan dua agensi di bawah MOSTI iaitu Technology Park Malaysia Corporation (TPM) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).
MRANTI dijangka akan beroperasi tahun hadapan selaras dengan agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara menerusi Pemecut Pengkomersialan Teknologi (Technology Commercialisation Accelerator) dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui sains, teknologi dan inovasi (STI-E).
Pada majlis pengumuman MRANTI hari ini, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri MOSTI menjelaskan, “Misi utama MRANTI adalah untuk memudahcara proses pencetusan idea sehingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi.”
Penubuhan MRANTI di bawah program TCA ini adalah selaras dengan strategi di bawah pemangkin dasar membangunkan tenaga kerja masa hadapan dan mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMKe-12).
Tambah Dato’ Sri Dr. Adham lagi, “Melalui MRANTI, Return on Ideas atau pulangan daripada idea secara umumnya merujuk kepada pertukaran pengetahuan kepada perolehan fiskal. MRANTI ditubuhkan sebagai landasan pelancaran teknologi daninovasi untuk membantu perusahaan, penyelidik dan pencipta memaksimumkan pulangan idea pada kadar yang lebih cepat, dengan mengoptimumkan sinergi.”
Selain menawarkan program pembangunan kapasiti dan bantuan untuk menembusi pasaran, MRANTI juga akan menawarkan kemudahan fasiliti prototaip dan lapangan ujian langsung serta kemudahan dan perkhidmatan infrastruktur lain kepada para penyelidik dan inovator.