15 Ogos 2025, Putrajaya – Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam dilancarkan hari ini oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Hadir sama, barisan Jemaah Menteri; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha MOSTI, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan barisan pegawai tertinggi Kerajaan.
Pelancaran dasar ini menandakan komitmen berterusan Kerajaan untuk melahirkan generasi pegawai awam yang berkemahiran tinggi, inovatif, dan berintegriti, bersedia mendepani cabaran masa depan serta memperkukuh agenda Malaysia MADANI.
Pembangunan bakat adalah pemangkin utama ke arah meningkatkan kecekapan, daya cipta dan profesionalisme pegawai awam. Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam digubal untuk memastikan sektor awam kekal relevan, responsif dan mampu memacu agenda reformasi.
Pegawai-pegawai MOSTI, Jabatan dan Agensi bersama-sama lebih 30,000 penjawat awam berhimpun secara fizikal di PICC dan secara maya bagi menyaksikan MAPPA XX yang bertemakan “Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan”. Selain pelancaran dasar, program turut menampilkan forum Cakna Inspirasi MAPPA, 43 reruai pameran perkhidmatan dan penyediaan ruang solat Jumaat untuk 1,000 jemaah sebagai simbol penyatuan nilai rohani dan profesionalisme dalam sektor awam.