Skip to main content
News

Majlis Pelancaran Pusat Latihan Serantau Schneider Electric

10 November 2026, Petaling Jaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Latihan Serantau Schneider Electric hari ini di Petaling Jaya, Selangor.
Dalam ucapannya, pelaburan syarikat berkenaan bertepatan dengan sambutan 40 tahun operasinya di Malaysia, sekali gus membuktikan keyakinan berterusan terhadap potensi negara sebagai tulang belakang digital rantau Asia Pasifik. Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi dan pelaburan bernilai tinggi tidak akan bermakna tanpa tenaga kerja tempatan yang berkemahiran.
Tambahnya lagi, Malaysia mencatatkan lebih RM200 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026, merangkumi RM95 bilion dalam pusat data dan infrastruktur awan terutamanya di Selangor dan Johor. Selain itu, Malaysia turut menduduki tempat ke-34 di peringkat global dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2026 daripada 139 ekonomi dunia.
Justeru itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi komited merapatkan jurang antara akademia dan industri melalui inisiatif seperti National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2.0, serta Pelan Tindakan KL20. Inisiatif ini bertujuan mempercepat pengkomersialan R&D serta melahirkan bakat STEM dan TVET berkemahiran tinggi.
Penubuhan pusat latihan ini adalah usaha kerajaan untuk memperkasa pembangunan modal insan selari dengan lonjakan transformasi digital. YB Datuk berharap inisiatif berkenaan dapat melahirkan lebih ramai jurutera serta juruteknik tempatan yang mampu menerajui teknologi pengurusan tenaga pintar, cekap, dan mampan pada peringkat global.
Skip to content